06 June 2010

USUL AHLI PARLIMEN

Salam 2 all.

Pada hari Isnin 03 Jamadil Akhir 1431/ 17 Mei 2010, saya telah mengemukakan 30 Usul bagi Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu menurut Aturan 26 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk tujuan dibentangkan dan dibahaskan bagi mesyuarat Dewan Rakyat ke 12, Penggal Ketiga Mesyuarat ke 2 yang akan mula bersidang Isnin 24 Jamadil Akhir 1431/ 07 Jun 2010.

Usul utama yang saya kemukakan adalah untuk pembatalan permit dan lesen pertaruhan bagi pertandingan bolasepak Piala Dunia 2010 ini (judi bola) dan menuntut supaya pihak polis membuat permohonan maaf kepada keluarga Allahyraham adik Aminulrasyid Amzah serta membayar pampasan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham. Juga ada beberapa isu yang sya kemukakan dalam bentuk usul untuk pertimbangan Dewan.

Memang ada pihak yang menyatakan bahawa usul persendirian Ahli Parlimen jarang yang akan dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat kerana keutamaan diberi kepada usul-usul Kerajaan. Namun pengalaman saya sendiri membuktikan pihak kerajaan akan meneliti usul-usul tersebut dan yang mana boleh diambil tindakan pihak kerajaan biasanya akan bertindak. Ini terbukti dalam beberapa usul yang saya kemukakan pada mesyuarat lepas saperti usul penghapusan amalan tafakkur diTugu Negara, koc khas wanita bagi KTMB dan lain-lain. Jadi saya berharap walaupun usul-usul tersebut mungkin tidak dibentang atau dibahaskan, namun pihak Kerajaan akan mengambil tindakan susulan daripadanya.

Sekian wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
23 Jamadil Akhir 1431
06 Jun 2010

USUL-USUL ATURAN 26

AHLI PARLIMEN KULIM BANDAR BHARU


  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak Kerajaan supaya membatalkan lesen pertaruhan yang telah dikeluarkan untuk sukan bolasepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung bulan Jun 2010 di Afrika Selatan kerana pemberian lesen tersebut bukan sahaja bercanggah dengan hukum syara’, malahan memberikan isyarat bahawa sukan dan perjudian adalah sinonim dan sukan boleh dijadikan dan dihalalkan sebagai bahan perjudian. Dewan juga menginsafi mengaitkan sukan dengan pertaruhan dan perjudian, apatah lagi sukan berprestij saperti bolasepak Piala Dunia 2010 ini akan memberi satu gambaran yang salah kepada para belia dan remaja bahawa sukan dan judi itu boleh bergandingan. Dewan juga menginsafi bahawa hasrat Kerajaan menggunakan hasil yang dijangka diperolehi daripada pertaruhan dan perjudian bolasepak Piala Dunia ini sebagai sumber kewangan untuk pembangunan sukan negara akan menjadikan pembangunan dan kemajuan sukan negara sebagai tidak mempunyai barakah dan akan kehilangan kecemerlangannya. Selanjutnya Dewan menginsafi tindakan Kerajaan menghalalkan pertaruhan dan perjudian bagi sukan bolasepak Piala dunia 2010 ini akan menggalakkan lagi amalan rasuah didalam permainan bolasepak khususnya dan sukan lain ‘amnya. Dewan menyedari dan mendesak bahawa cara terbaik menangani pertaruhan haram dan tidak berlesen pertandingan bolasepak Piala Dunia 2010 ialah dengan mengisytiharkan perang terhadap kegiatan pertaruhan dan perjudian tersebut dan bukan menghalalkannya dengan pemberian lesen. Selanjutnya Dewan menginsafi bahawa pemberian lesen pertaruhan dan perjudian bolasepak Piala Dunia 2010 ini akan menyebabkan kegiatan pinjaman haram dan Ah Long akan bercambah. Dewan juga menyedari bahawa pemberian lesen pertaruhan dan perjudian bagi sukan bolasepak Piala Dunia akan membuka “floodgates” (dengan izin) untuk sukan-sukan lain dijadikan bahan perjudian dan pertaruhan”.

[Menteri Kewangan]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak YB Menteri Dalam Negeri supaya mengarahkan pihak Polis DiRaja Malaysia supaya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada ahli keluarga dan waris Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah yang telah mati ditembak oleh pihak polis pada 26.04.2010 dan kemudiannya dilabel sebagai penjenayah dan kononnya membawa parang didalam but kereta yang dipandu Allahyarham sedangkan faktanya sekarang jelas bahawa Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah bukan seorang penjenayah dan tiada bukti beliau membawa parang didalam but kereta pada hari tersebut. Selanjutnya Dewan ini membuat ketetapan supaya Menteri Dalam Negeri membuat bayaran pampasan dan saguhati kepada keluarga dan waris Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah”.

[Menteri Dalam Negeri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya memberikan anugerah Tokoh Ma’al Hijrah 1432 (Peringkat Antarabangsa) kepada saudara Yusuf Islam @ Cat Steven bagi mengenang jasa saudara Yusuf Islam yang telah memberi sumbangan besar kepada usaha menyebarkan risalah Islam dan kerja-kerja da’wah ke seluruh dunia”.

[Menteri Dalam Negeri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya memberikan anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Tun secara “post-humous” (dengan izin) kepada Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang bagi mengenang jasa beliau yang besar kepada usaha memartabatkan dan memajukan bahasa Melayu melalui karya-karya besarnya dan lain-lain usaha yang telah Allahyarham lakukan”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mencadangkan kepada YAB Perdana Menteri, YAB Menteri-Menteri Besar dan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri supaya melakukan semakan semula senarai penerima anugerah kebesaran persekutuan atau negeri dengan tujuan untuk dilakukan pembersihan termasuk menarik balik dan/ atau membatalkan anugerah dan gelaran yang diberi kepada mereka yang telah dan/ atau pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan jenayah dan yang didaftarkan di Pusat Pendaftaran Penjenayah (Criminal Registration Center)”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mencadangkan supaya satu kajian dibuat dengan tujuan menggubal undang-undang yang bersesuaian untuk memansuhkan keperluan mengadakan pilihanraya kecil bagi kerusi yang kosong atau dikosongkan oleh mana-mana wakil rakyat samada diperingkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri termasuk kemungkinan memberikan kerusi yang kosong atau dikosongkan itu kepada parti yang telah memenanginya semasa pilihanraya umum untuk menentukan calun yang mengganti dan/ atau mengisi kekosongan tersebut. Ini sekalugus dapat mengelakkan keperluan mengadakan pilihanraya kecil yang melibatkan kos yang tinggi dan menyebabkan masyarakat Malaysia terlibat dengan kegiatan politiking tanpa kesudahan”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mencadangkan supaya undang-undang yang berkaitan dipinda untuk memberi pilihan dan opsyen kepada mana-mana individu beragama Islam yang dikenakan sebarang pertuduhan jenayah untuk memilih forum perbicaraan di Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa berdasarkan peruntukkan undang-undang yang ada dimana-mana Akta atau Enakmen Syariah saperti pertuduhan liwat dan lain-lain. Ini adalah kerana seorang Muslim berhak untuk dibicarakan menurut undang-undang Islam demi menjaga aqidah dan syariat seseorang Muslim itu”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan mendesak supaya Mahkamah sekular yang diujudkan menurut Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan menghormati dan tidak mencampuri hak dan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan menurut Artikel 121 (1A) Perlembagaan termasuk hak dan bidangkuasa mutlak menentukan siapa yang boleh diterima masuk dan didaftarkan sebagai seorang Peguam Syarie. Ini adalah kerana kalau Mahkamah sekular tersebut boleh mencampuri urusan hak dan bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam penentuan kemasukan dan pendaftaran peguam syarie ke Mahkamah Syariah, apakah itu bermakna Mahkamah Syariah boleh mencampuri urusan hak dan bidangkuasa Mahkamah sekular untuk penentuan kemasukan dan pendaftaran seseorang peguam sekular di Mahkamah sekular?”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya meminda Akta Mahkamah Keadilan 1964 (Courts of Judicature Act 1964) (Akta 91) dengan memasukkan peruntukkan baru di Seksyen 4 saperti berikut:

Seksyen 4A: Didalam keadaan dimana terdapat isu dan/ atau pertikaian membabitkan dan atau melibatkan agama Islam dari segi aqidah, kepercayaan, hukum-hakam, syariat dan/atau apa juga persoalan mengenai Islam, maka Mahkamah wajiblah merujuk isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu kepada Mahkamah Syariah untuk suatu keputusan atau penghakiman; dan semua prosiding hendaklah ditangguhkan sehingga keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah itu dibuat, dan keputusan atau penghakiman Mahkamah Syariah bagi isu, persoalan dan/ atau pertikaian itu hendaklah mengikat Mahkamah tersebut”.

Bahawa Dewan menginsafi masalah membabitkan isu, pertikaian atau persoalan mengenai Islam jika diputuskan di Mahkamah sekular berdasarkan undang-undang sivil boleh mencetuskan salahfaham dan kekeliruan. Ini berlaku kerana isu dan persoalan membabitkan kefahaman terhadap undang-undang dan syariat Islam dalam konteks syariah dan Islam tidak difahami, dihayati dan diinsafi oleh Mahkamah sekular yang membicara dan memutuskan sesuatu isu tersebut menurut peruntukkan undang-undang sivil yang terbatas dan terhad kepada pembicaraan soal perundangan sekular semata-mata, malahan menolak untuk menerima pakai kefahaman syarie dan Islam.

Sebenarnya inilah yang telah berlaku didalam kes Maria Hertogh @ Nadrah pada tahun 1950 apabila Mahkamah sivil Singapura yang mengguna pakai undang-undang sivil British menolak untuk menerima pakai undang-undang Islam dan syariatnya dengan menolak aqidah dan keislaman Nadrah dan perkahwinan Nadrah dengan Almarhum Mansor Adabi yang mana menurut undang-undang Islam dan hukum syara’ keislaman dan perkahwinan Nadrah adalah sah kerana beliau sudah aqil baligh mengikut hukum syarak dan merupakan seorang mukallaf dan hukum taklif berlaku kepada beliau.

Begitu juga didalam beberapa kes dimana Islam melihat sesuatu isu itu dari segi aqidah, tetapi Mahkamah sekular melihatnya dari sudut istilah dan perundangan sivil. Sekiranya peruntukkan saperti yang dicadangkan diatas ujud, maka Dewan menginsafi bahawa isu ini akan dapat diselesaikan dengan baik menurut peruntukkan undang-undang yang terpakai bagi isu tersebut.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera untuk mengesahkan dan mengisytiharkan bahawa Malaysia bukan negara sekular saperti India sebaliknya sebuah negara yang mengamalkan dwi-sistem (sistem perundangan hybrid) iaitu dengan meminda Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dengan menambah perkataan saperti berikut (saperti yang dihitamkan):

Islam adalah agama bagi Persekutuan termasuk dari segi undang-undang dan syariatnya’.

Bahawa Dewan mengambil maklum bahawa keputusan Mahkamah didalam kes Che Omar Che Soh v. Pendakwaraya dan Jamaluddin Osman v. Menteri Dalam Negeri telah banyak diputarbelit dan disalahtafsir oleh golongan tertentu untuk memberi gambaran kononnya Malaysia adalah negara sekular sedangkan hakikatnya Malaysia bukanlah negara sekular sebaliknya negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, maka dengan pindaan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan saperti yang dicadangkan akan memperjelaskan perihal kedudukan status negara ini tanpa sebarang keraguan lagi”.

[ Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah supaya Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan menambah perkataan saperti berikut (saperti yang dihitamkan):

Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan, kecuali undang-undang dan syariat Islam, apa-apa undang-undang yang diluluskan berlawanan dengan Perlembagaan ini dan undang-undang Islam atau hukum syara’ hendaklah terbatal setakat ianya berlawanan itu’.

Bahawa Dewan mengambil maklum bahawa banyak keadaan dimana hukum syara’ dan syariat Islam telah terbatal dan atau tidak dapat dilaksanakan kerana Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan ini yang meletakkan undang-undang negara mengatasi semua undang-undang dan peraturan lain termasuk undang-undang serta syariat Islam saperti pengharaman pemakaian serban disekolah-sekolah kebangsaan, pemakaian purdah dan jilbab di jabatan-jabatan kerajaan, perlaksanaan undang-undang syarak saperi khalwat, zina, qazaf yang bercanggah dengan hukum syara’ dan lain-lain”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah supaya Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan menambah perkataan saperti berikut (saperti yang dihitamkan):

‘Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya, termasuk menukar agamanya kecuali bagi penganut agama Islam yang hendaklah tertakluk kepada undang-undang dan syariat Islam.

Bagi maksud penganut ugama Islam, soal kemasukan dan kemurtadan dari ugama Islam hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa mutlak keatasnya”.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum bahawa walaupun Mahkamah Persekutuan didalam beberapa kes termasuk Azlina Jailani @ Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendaftaran Negara memutuskan bahawa dalam hal ehwal dan permasalahan kemasukan atau kemurtadan daripada Islam hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dan Mahkamah sekular tidak boleh mempunyai apa-apa bidangkuasa menurut Artikel 121 (1A), namun masih lagi ada pihak yang mempertikaikan dan membawa kes seumpama ini ke Mahkamah sekular dimana dalam kes melibatkan seorang Punjabi Muslim mayatnya terlantar di Hospital Sg. Buloh, Selangor selama sebulan kerana Mahkamah Sivil masih mahu mendengar kes-kes seumpama ini, sedangkan merupakan fadhu kifayah keatas umat Islam untuk menyegerakan pengurusan dan pengkebumian jenazah mana-mana orang Islam yang telah meninggal dunia. Dengan adanya peruntukkan seumpama diatas maka isu saperti ini tidak akan berbangkit lagi”.

[ Perdana Menteri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan saperti berikut:-

‘…tetapi tidak mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan…’ dan diganti dengan perkataan berikut;

dan mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya’.

Dan proviso kepada Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan saperti yang dinyatakan diatas dan hendaklah berbunyi saperti berikut:

Mahkamah Syariah tersebut hendaklah mempunyai bidangkuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara’ dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta’zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara’ dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya saperti hudud, qisas dan ta’zir tanpa sebarang pengubahsuaian dan pindaan saperti yang berlaku sekarang dan Dewan mengambil maklum bahawa kegagalan melaksanakan system perundangan Islam sepenuhnya ini akan boleh membatalkan aqidah umat Islam

[ Perdana Menteri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Dalam Negeri menguatkuasakan keputusan daripada muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 19 pada 06hb - 08hb. Oktober 1987 dan mengambil langkah serta-merta dan mengambil contoh tindakan Kementerian Pertahan memansuhkan dan menghapuskan semua amalan syiirik dan kufur oleh pihak Polis DiRaja Malaysia termasuk upacara bertafakkur yang diadakan di hadapan Tugu Negara atau mana-mana tugu peringatan yang bersamaan sempena Hari Pahlawan, Hari Angkatan Tentera, Hari Polis dan lain-lain hari peringatan atau apa jua upacara rasmi dan semua langkah yang berkesan dan efektif diambil agar anggota tentera, polis dan lain-lain orang yang beragama Islam tidak dipaksa dan/ atau diarah melakukan upacara dan amalan kawad hormat dan/ atau bertafakkur di hadapan Tugu Negara yang telah difatwakan sebagai syirik”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama semua Kerajaan Negeri supaya melantik seorang Mufti Negara sebagai Ketua bagi dan dengan kuasa dan otoriti mengatasi kesemua Mufti-Mufti dan menjadi Pengerusi bagi Majlis Fatwa Kebangsaan dengan tanggungjawab dan menjawab hanya kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Selanjutnya Dewan ini megambil ketetapan mendesak Kerajaan supaya memberi kuasa dan bidangkuasa jelas kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menguatkuasa dan melaksanakan fatwa-fatwa yang dikeluarkannya dan mana-mana orang yang mempersoalkan dan/ atau mempertikaikan Fatwa-fatwa tersebut hendaklah dianggap melakukan penghinaan terhadap agama Islam dan diambil tindakan tegas menurut Seksyen 298A Kanun Kesiksaan atau dibawah mana-mana undang-undang (Persekutuan atau Negeri)”.

[ Perdana Menteri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil langkah untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa caucus khusus untuk menangani dan memantau dan mengambil langkah-langkah berkaitan dengan masalah Palestin dan menamakan badan ini sebagai ‘Jawantankuasa Caucus bagi Palestin’ dengan melantik YB Kepala Batas sebagai Pengerusi Caucus tersebut dan selanjutnya Dewan ini mendesak Kerajaan Mesir supaya membuka semula pintu Rafah dan memberi kebebasan keluar/ masuk kepada rakyat Palestin dan tidak menghalang sebarang usaha-usaha bantuan kemanusiaan oleh mana-mana pihak; dan juga juga mendesak rejim zionis Israel supaya segera mengembalikan hak rakyat Palestin dan mengiktiraf Negara Islam Palestin sebagai negara yang merdeka dan berdaulat dan Baitulmaqdis sebagai ibu negeri Negara Islam Palestin”.

[Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil langkah untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet dengan segera khusus untuk menangani dan memantau dan mengambil langkah-langkah bersepadu dan berkesan berkaitan dengan hal ehwal masyarakat India dan penganut agama Hindu dengan tujuan unjtuk memantapkan kedudukan ekonomi mereka dan hal masalah peribadatan mereka termasuk penyelenggaraan dan pengurusan kuil-kuil mereka dan menyelesaikan permasalahan kewarganegaraan dan kad pengenalan mereka dan dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet bagi Hal Ehwal Masyarakat India’” dengan melantik Timbalan Perdana Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas tersebut.

[ Menteri di Jabatan Perdana Menteri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Kementerian Pelajaran supaya dengan serta-merta menubuhkan sebuah Majlis Buku Negara dengan peruntukkan yang mencukupi dan segera menggubal Dasar Buku Negara dan Akta Buku serta mengambil semua langkah yang menasabah dan praktikal untuk membantu, menggalakkan, membangunkan dan memajukan industri buku negara. Selanjutnya Dewan juga membuat ketetapan supaya Dasar Buku Negara saperti yang telah dimaktubkan segera dilaksanakan sepenuhnya dan mencapai matlamat yang disasarkan dalam Dasar Buku Negara tersebut”.

[ Menteri Pelajaran ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Kerajaan Persekutuan supaya mengambil langkah menyiarkan dan mewajibkan siaran azan pada tiap-tiap waktu solat fardu yang lima dikesemua tempat awam tanpa sebarang sekatan dan/ atau halangan. Ini adalah kerana sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan saperti yang dimaktubkan oleh Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan, maka adalah penting untuk syiar Islam dimartabatkan”.

[ Menteri Penerangan ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengambil langkah supaya kesemua banduan dan tahanan yang disabit dan dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat hendaklah dikurangkan hukuman penjara tidak melebihi 20 (dua puluh tahun) dan bagi yang telah menjalani hukuman melebihi jumlah 20 tahun tersebut (setelah ditolak cuti dan kelakuan baik) hendaklah dibebaskan dengan serta-merta”.

[ Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil langkah mendesak Menteri Pengangkutan supaya mengarahkan dan/ atau mengenakan syarat kepada syarikat penerbangan Malaysia Airline, Air Asia atau mana-mana syarikat penerbangan dalam negeri ini supaya membenarkan kakitangan wanitanya terutama pramugari yang beragama Islam pilihan untuk memakai pakaian / pakaian seragam yang mematuhi hukum syara”.

[ Menteri Pengangkutan ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Menteri Pengangkutan melarang dan/ atau mengenakan syarat kepada syarikat Penerbangan Malaysia supaya menghentikan penjualan arak dan lain-lain minuman keras dan yang memabukkan semasa didalam penerbangan”.

[ Menteri Pengangkutan ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hanya membenarkan penjualan arak, minuman keras dan yang memabukkan dalam apa bentuk sekalipun hanya dipremis-premis khas yang dilesenkan dan hanya khusus untuk masyarakat bukan Islam sahaja; sebagaimana premis khas untuk penjualan nombor ekor, tempat perjudian dan daging khinzir dan lain-lain; dan tidak melesenkan kedai-kedai runcit atau serbaneka daripada menjual arak dan/ atau apa-apa minuman keras dan yang memabukkan dipremisnya.

Dewan ini mengambil maklum banyak kes terjadi dimana remaja dan belia beragama Islam yang menyalahgunakan penjualan arak dan minuman berakohol serta kemudahan kondom di kedai-kedai serbaneka ini untuk kegiatan tidak berakhlak dan bermoral, yang akhirnya membawa kepada timbulnya gejala social yang serius saperti kegiatan merempit yang melampau, perzinaan, perogolan dan kesalahan seksual dan kes pembuangan bayi”.

[ Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Menteri Dalam Negeri supaya dengan segera mengambil langkah membebaskan semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang ditahan kononnya atas dakwaan terlibat dengan kegiatan militant Islam saperti Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Jemaah Islam Malaysia (JI), Kumpulan Al Maunah dan lain-lain termasuk Mas Selamat Kastari dan jika pihak kerajaan mempunyai apa-apa bukti dan keterangan terhadap mereka hendaklah mereka dengan segera dibawa ke hadapan sebuah Mahkamah sivil yang berbidang kuasa untuk membicarakan mereka tanpa sebrang kelengahan lagi.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum bahawa menahan mana-mana individu tanpa perbicaraan dan hak membela diri adalah bercanggah dengan hukum syara’ dan undang-undang Islam; apatah lagi terdapat undang-undang lain yang mencukupi untuk menangani permasalahan perundangan yang ada bagi hal-hal yang menjejaskan keselamatan, keamanan dan ketenteraman negara”.

[ Menteri Dalam Negeri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mencadangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya mengkaji dan melaksanakan projek membesarkan dan membaikpulih Masjid Jame’ Bandaraya Kuala Lumpur termasuk membina mihrab dan mimbar baru yang bersesuaian, menurap keseluruhan tapak Masjid tersebut dengan marmar sabagaimana yang dibuat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta memperkukuhkan bumbong Masjid tersebut agar dapat menampung jemaah untuk mengerjakan solat terutamanya solat Jumaat dan kedua ‘Eidulfitri & ‘Eiduladha memandangkan pertambahan jemaah yang semakin meningkat mutakhir ini”.

[ Menteri di Jabatan Perdana Menteri ]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia supaya mengeluarkan larangan terhadap mana-mana pembantu rumah asing yang beragama Islam daripada bekerja dengan mana-mana majikan yang bukan beragama Islam. Ini adalah kerana terdapat banyak aduan pembantu-pembantu rumah asing yang beragama Islam yang dipaksa memakai pakaian bercanggah dengan Islam saperti berseluar pendek, memakan makanan dan minuman yang haram saperti babi dan arak, serta dipaksa memandikan dan membela anjing dan tinggal dipersekitaran dan suasana yang jelas bercanggah dan/ atau tidak bersesuaian dengan seorang Muslim”.

[Menteri Dalam Negeri]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

Bahawa Dewan ini ini mengambil ketetapan mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya membenarkan pencarum KWSP yang beragama Islam mengeluarkan simpanan mereka bagi tujuan mengerjakan ‘ibadah haji bagi diri mereka dan keluarga terdekat sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka walaupun belum mencapai umur persaraan 55 tahun;

Selanjutnya Dewan juga mengambil ketetapan mendesak Kementerian Kewangan supaya segera mengambil langkah memansuhkan Seksyen 167 Akta Insurans dan Peraturan 6 Peraturan KWSP 2001 yang banyak menimbulkan masalah dan disalahgunakan oleh penama yang dinamakan sebagai benefisiari kerana banyak kes dimana penama apabila menerima wang caruman daripada KWSP telah tidak membahagikan wang tersebut menurut syara’ dan hukum faraid; atau sebagai alternatif mengenakan syarat kepada pengurusan KWSP supaya wang caruman simati tidak dibayar kepada penama kecuali mereka telah mengemukakan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah dan pembayaran dibuat oleh KWSP terus kepada waris-waris yang dinamakan didalam sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa tersebut”.

[Menteri Kewangan]

  1. Zulkifli Bin Noordin(Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

“Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mendesak Kementerian Pertahanan supaya mengujudkan kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mengambil hanya pelatih wanita sahaja sebagai pilihan bagi mereka dan ibu-bapa yang mahukan anak perempuan mereka diasingkan kerana terlalu banyak aduan pelatih-pelatih wanita yang melalui pengalaman diganggu oleh samada pelatih atau petugas lelaki sehingga ada yang ke peringkat mencabul, mendera dan merogol; ramai ibu-bapa yang mengadu anak perempuan mereka yang apabila kembali daripada PLKN berubah menjadi terlalu terbuka dalam pergaulan dan perhubungan dengan lelaki walaupun sebelum ke PLKN anak-anak mereka sangatlah bersopan dan menjaga akhlak dan batasan pergaulan dengan lelaki;

Selanjutnya Dewan mengambil ketetapan mendesak Kementerian Pertahanan supaya menerapkan dalam syllabus latihan kepada pelatih-latih beragama Islam modul nilai Islam saperti mewajibkan solat jemaah pada tiap waktu solat fardu, qiamullail dan tahajjud, dan melatih mereka supaya mengimarahkan masjid dengan selalu mengadakan program qiamullail dimana-mana masjid berhampiran kem PLKN, yang mana ini akan bukan sahaja menjalinkan ukhwah dan persaudaraan dengan masyarakat sekeliling, ianya juga akan memperkukuh dan memperkuatkan aspek spiritual dan kerohanian pelatih-pelatih PLKN”.

[Menteri Pertahanan]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan mencadangkan kepada Menteri Pengangkutan supaya diadakan koc-koc dan gerabak-gerabak khas di perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR dan Putra) bagi “Wanita Sahaja”; ini adalah untuk memberi pilihan kepada penumpang wanita membuat pilihan untuk menaiki koc dan gerabak khas untuk wanita sahaja termasuk bagi koc berkatil kerana banyak aduan diterima dimana penumpang wanita di perkhidmatan LRT mengadu mereka diraba, dicabul dan diganggu dengan gangguan seksual semasa menggunakan perkhidmatan ini terutama diwaktu puncak. Oleh itu untuk keselesaan dan keselamatan penumpang wanita, Dewan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya segera mengkaji dengan tujuan melaksanakan sekim koc dan gerabak “Khas Untuk Wanita Sahaja” bagi perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR dan Putra)”.

[Menteri Pengangkutan]

  1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) mencadangkan:

Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan menncadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri, dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam) supaya mengkaji kepada keperluan mengujudkan sebuah pusat tahanan, penjara dan/ atau tempat perlaksanaan hukuman bagi mereka yang disabit dan dijatuhkan hukuman oleh mana-mana Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa memandangkan tiadanya pusat tahananan, penjara dan/ atau tempat perlaksanaan hukuman bagi pesalah-pesalah syarie saperti yang kita persaksikan dalam kes Kartika Sari Dewi Syukarno baru-baru ini. Dewan mengambil perhatian bahawa perlaksanaan hukuman bagi pesalah syarie adalah sangat berbeza dari tujuan, matlamat dan bentuk hukuman bagi pesalah syarie berbanding dengan pesalah di Mahkamah Sivil;

Yang benar

………………………………………………..

Zulkifli Bin Noordin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu

Isnin

03 Jamadil Akhir 1431 / 17 Mei 2010

5 comments:

harunn said...

Salam kepada Semua

Syabas Yb , Saya kira usul yang Yb usulkan tu begitu hebat serta mantap
banyak isu2 yang penting Yb usulkan , semoga mendapat perhatian dari kerajaan
Saya rasa usul yang bawa tidak pernah terlintas oleh geng2 pakatan , pakatan hanya tau buat kecoh je lebih ...habuk pun tarak...terutama pkr dan dap

Unknown said...

Kerajaan dan rakyat dinegara ini harus bertindak dengan lebih berhati2 dalam menangani issue zionist ini. Amaran secara halus telah pun dikeluarkan oleh AS terhadap Singapura supaya bersedia kemungkinan2 perubahan yang berlaku dirantau ini terutama Korea Utara. Amaran ini dikeluarkan sehari selepas kapal MV Maxmara diserang . Orang2 Yahudi ini begitu bijak memainkan peranan dalam mengatur strategy menjatuhkan sesebuah negara.Berbagai kaedah yang mereka lakukan dinegara2 arab menjadikan mereka lebih berpengalaman untuk megegarkan kestabilan serta melemahkan struktur sosial politik serta ekonomi sesebuah negara. Tidak hairan sekiranya dinegara kita ini akan berlaku perpecahan politik, pergeseran sosial atau kemerosotan ekonomi dalam masa terdekat ini. Adalah perlu setiap rakyak dinegara kita ini bertindakbalas lebih bijak terhadap sesuatu perubahan,sekiranya berlaku.Sms-sms yang disebarkan yang menyentuh sensitivity perkauman seperti "Melaka is called MALAY DOG STATE" haruslah diteliti dan dipantau sewajarnya.

shafiq sabri said...

Israel Laknatullah memang dasar kejam..semoga menerima balasan seperti mana Allah menurunkan Burung Ababil yang manghancurkan tentera bergajah musyrikin.Amin..

YB bolehla melawat blog saya atau masukkan dalam blog list YB kerana mulai saat ini saya akan update mklumat tbaru tntang kekejaman israel terhadap rakyat Palestin..

Link blog saya: http://soaddarancid.blogspot.com/

Ab Razak Hj Ahmad said...

Sangat setuju dengan usul 27. Sokong YB...

Part usul 21 (serve arak) kat MAS flight.... rasa mcm dah basi isu ini... Apasal lah susah sangat nak keluarkan arahan larangan serve arak on-board...???? Tak paham aku... Entah2 pak menteri pun join sekaki.... opss join secawan...

aka777 said...

Salam YB,

100% sokong!