03 January 2011

OPs GERHANA


"Kepiah dibuang konon bergaya
Jangoat tergantung bahan perdaya
Pak Jangoat berangan ke Putrajaya
Rupanya ke Sg. Buluh jugak akhirnya"

Salam 2 all.

Teman ucapkan tahniah kepada Dewan Ulama' PAS Kedah yang tegas mempertahankan konsep kepimpinan ulama' didalam PAS dan menolak buku bertajuk "Menuju PAS Baru" tulisan Dr. Mujahid Rawa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar (kenyataan Sheikh Yusuf Mahmud, Naib Ketua Dewan Ulama' PAS Kedah teman perturunkan dibawah).

Kalau dikaji apa yang ditulis oleh Dr. Mujahid, teman dah tak nampak apa bezanya PAS nanti dengan parti politik nasionalis yang lain. Sebenarnya kalau diikutkan, PAS sendiri adalah parti yang memang pun bersifat Islamis-nasionalis. Namanya pun "Parti Islam SeMalaysia", nasionalis lah tu. Islam di Malaysia. Atau dengan kata lain, "Parti Islam Kebangsaan" "Parti Islam Nasional" atau "Parti Islam Negara". Semuanya membawa makna yang sama. Pokok pangkalnya semangat nasionalis didalam PAS sudah ada, cuma bezanya ia meletakkan perjuangan mendirikan negara Islam sebagai matlamat.

Secara ringkasnya, Dr. Mujahid mengajak ahli PAS supaya "menasionalkan & memperkebangsaankan PAS!". Antaranya, beliau mencadangkan supaya ahli PAS lebih mendekati Perlembagaan Persekutuan, lebih kerap menyanyi lagu NegaraKu, banyakkan memakai baju kebangsaan dan lain-lain. Teman tidak kata ianya salah, tetapi ianya akan menjadikan PAS sama dengan parti politik yang lain. Itu sahaja.

Matlamat perjuangan PAS ialah menubuhkan sebuah negara Islam yang berdaulat dan melaksanakan undang-undang Islam. Kalau PAS meninggalkan dua matlamat perjuangan utama ini, maka tiadalah bezanya PAS dengan parti politik lain. Sebab itu, bila kepimpinan PAS bersetuju menandatangani perjanjian Deklarasi Persefahaman Pakatan Rakyat 18.12.2009 di Shah Alam yang memaktubkan jika Pakatan pembangkang memenangi pilihanraya dan memerintah Kerajaan Persekutuan, "agenda penubuhan negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk didalam persefahaman ini"., teman merasakan sesuatu kepelikan yang teramat sangat. Saperti melihat Tok Guru Nik Aziz memakai kot & tie, tanpa serban!! Bayangkan!!

Tidakkah perjanjian itu bercanggah sama sekali dengan prinsip perjuangan dan penubuhan PAS itu sendiri. Dan jika itu dimansuhkan, apakah beza PAS dengan parti-parti politik yang lain. Pada teman ianya sama sahaja. Malahan mungkin lebih teruk kerana PAS memilih untuk bersekongkol dengan sebuah parti kafir harbi, yang terang-terang kepimpinannya menolak Islam dan penubuhan negara Islam serta perlaksanaan undang-undang Islam. Kenyataan "Islam over my dead body" adalah ungkapan yang jelas sudah terang bersuluh pula.

Sebab itu teman berasa sangat pelik mengapa sampai ada kepimpinan PAS yang begitu ghairah mahu berkuasa sehingga sanggup mati untuk golongan kafir harbi ini (sila lihat artikel "Imam Karpal" di blog ini").

Dan teman melihat usaha penulisan dan penerbitan buku "Menuju PAS Baru" adalah gejala yang cukup tidak sihat yang sedang melanda PAS sekarang ini. Saperti kata Sheikh Yusuf Mahmud, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, "matlamat perjuangan PAS ialah Islam dan bukan Putrajaya. Tidak ada gunanya ke Putrajaya jika asas prinsip perjuangan terhakis".

Apa yang lebih memeranjatkan teman ialah sudah adanya satu perancangan sulit dibuat untuk menukar saf kepimpinan PAS yang dikuasai oleh para ulama' sekarang kepada golongan yang dikenali sebagai "Kaum Si-Tanggang" dalam Muktamar Agong PAS yang dijadualkan pada bulan Jun 2011 nanti. Teman mendapat maklumat satu geraksaraf dan kempen halus sedang dijalankan untuk meletakkan calon-calon yang kononnya dikatakan lebih bersifat moden dan professional menggantikan kepimpinan "serban jubah" yang kelihatan kolot dan kekampungan; yang jelas bagi para Pak Tanggang ini akan memalukan untuk dibawa bermahkota di Putrajaya nanti. Bila teman tengok dikalangan pak jangoat di Parlimen pun dah jelas. Ramai dikalangan mereka dah malu nak pakai kopiah, walaupun sebelum ditabal sebagai YB kopiah tak lekang dari kepala. Hari ni, tinggal beberapa kerat sahaja yang mahu berkopiah, yang lain dah jadi YB Tanggang dah pun!!

Didalam perancangan itu, teman diberitahu bahawa beberapa nama telah disenaraikan untuk menandingi semua jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden & AJK PAS Pusat. Dan jawatan Setiausaha Agong serta Bendahari Agong juga akan dilantik dari kalangan kaum tanggang ini. Siapa mereka, insyallah tiba masanya akan teman dedahkan. Namanya telahpun diberikan kepada teman, cuma teman perlu buat beberapa rujukan dan "counter check serta double check" sebelum teman dedahkan. Teman diberitahu beberapa mesyuarat dan perbincangan sulit telahpun mereka adakan untuk merancang dan melaksanakan konspirasi "Ops Gerhana" ini.

Jika konspirasi sulit ini berjaya dilaksanakan, teman cukup percaya dan yakin prinsip dan semangat perjuangan PAS akan berubah daripada Negara Islam kepada Putrajaya, demi memahkotakan pemimpin yang ditabal oleh bininya sendiri sebagai anugerah tuhan. Sebab itu teman namakan konspirasi ini sebagai "Ops Gerhana", pakatan untuk menggelapkan lambang bulan purnama PAS dengan perjuangan negara Islamnya! Semoga perkara itu tidak terjadi, na'uzubillah. Menjadi tanggungjawab semua ahli PAS mengekalkan kepimpinan yang ada, bernaung dibawah kepimpinan ulama'. Saudara-saudari akan diduga dengan habuan dan jawatan, dan mereka yang gelap mata pasti akan tewas. Namun yaqin dan percayalah, tentera ALLAH juga yang pasti akan menang.

Sebab itu kita memerlukan lebih ramai ulama' dan 'ilmuan saperti Sheikh Yusuf Mahmud, yang berani berdiri mempertahankan yang hak, dan yang nampak jelas yang mana yang batil. Kerana beliau seorang ulama', yang menjadikan Al Quran & Sunnah sebagai jalan perjuangan. Al Quran yang menjadi petunjuk bagi golongan beriman, yang membezakan yang hak dan yang batil, walaupun berhadapan dengan risiko dan cemuhan puak yang mencemuh. Tahniah kepada Sheikh Yusuf.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
28 Muharram 1432
03 Januari 2011

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

(Lapuran daripada media pro-Anwar MalaysiaKini)

Dewan Ulama PAS Kedah menolak buku bertajuk Menuju PAS Baru tulisan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusuf Rawa, yang antara lainnya mahu mengubah konsep kepimpinan ulama dalam parti itu dan bahawa PAS perlu berpijak di bumi nyata dan harus "dinasionalkan". Naib Ketua dewan itu Yusuf Mahmud dipetik Bernama sebagai berkata berkata pandangan seperti itu sama sekali tidak perlu lebih-lebih lagi ia disuarakan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai ahli PAS.

"Dalam keadaan sekarang, ahli-ahli PAS terutamanya pemimpin parti perlu memahamkan masyarakat mengenai kesyumulan Islam dan kesyumulan itulah yang berpijak di bumi nyata," katanya dalam satu kenyataan. Yusuf juga berkata beliau menolak idea yang diketengahkan oleh Mujahid iaitu mengubah konsep kepimpinan ulama yang telah menjadi amalan dalam PAS sejak lebih 20 tahun lalu.

"PAS tidak lemah dengan ulama tetapi ia perlu diperkasakan, bukan diubah kepada sebarang konsep lain," katanya. Beliau berkata penerbitan buku itu adalah satu percubaan untuk mengelirukan orang ramai mengenai asas perjuangan PAS yang berteraskan Islam. "Beliau dilihat cuba menanam rasa benci masyarakat kepada kepimpinan ulama dengan mengatakan bahawa PAS tidak membawa aspirasi nasional, apabila PAS menafikan Perlembagaan Persekutuan dan menamakannya sebagai Perlembagaan Thaghut," katanya.

Yusuf berkata masyarakat umum mungkin boleh terpengaruh tetapi ahli-ahli PAS yang telah ditarbiyah sekian lama cukup faham bahawa PAS selama ini hanya membawa aspirasi Islam bukan aspirasi nasional. "Beliau dilihat memberi tekanan agar PAS berubah menjadi parti yang seiring dengan Perlembagaan Persekutuan agar matlamat ke Putrajaya tercapai.

"Perlu diingatkan di sini bahawa matlamat perjuangan PAS bukan untuk ke Putrajaya tetapi untuk menegakkan hukum Allah. Tidak ada gunanya ke Putrajaya jika PAS terhakis asas perjuangannya," katanya lagi. Katanya idea "menasionalkan PAS" adalah tidak wajar kerana yang sepatutnya diketengahkan ialah Islam dalam pembentukan kenegaraan.

"Tindakan Mujahid jelas menunjukkan bahawa beliau cuba meneutralkan PAS dalam meraih undi masyarakat Malaysia. Bukan kita terpaksa menceduk apa yang telah menjadi praktikal parti-parti lain di Malaysia tetapi kita perlu ada jati diri," katanya.

Yusuf berkata kecelaruan Mujahid semakin menjadi-jadi apabila beliau menyarankan supaya dimasukkan dalam latihan perkaderan mengenai perlembagaan, membentuk identiti nasional PAS seperti mengibar Jalur Gemilang, menyanyi lagu Negaraku dan berpakaian kebangsaan. "Sepatutnya perkara-perkara seperti itu tidak perlu dibuat kerana kita mempunyai agenda yang lebih penting kepada generasi yang akan datang iaitu membezakan antara al-haq dan al-batil," katanya. Mujahid adalah juga Anggota Parlimen Parti Buntar.

No comments: