14 October 2013

ALLAH HU AHAD

Para peguam sujud syukur diperkarangan Istana Kehakiman selepas keputusan
 ALLAH Maha Besar, Tiada Tuhan disembah melainkan ALLAH
ALLAH Maha Besar, bagi ALLAH segala kepujian

ALLAH Maha Besar, - sungguh Maha Besar
Dan kepujian bagi ALLAH sebanyak-banyaknya pagi dan petang
Tiada Tuhan disembah melainkan ALLAH
Tiada kami sembah melainkan Dia
Ikhlas bersih hati kami beragama bagi Nya
Walaupun kafir tidak suka,
walaupun musyrikin tidak suka
walaupun munafiqun tidak suka

Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH Yang Satu
 Benar janji Nya, menolong hamba Nya
Menguatkan tentera Nya
Mengalahkan semua gabungan kafir dengan sendiri Nya

Tiada Tuhan disembah melainkan ALLAH
Dan ALLAH itu Maha Agong
Dan bagi ALLAH jua segala kepujian

Salam 2 all.

Hari ini Isnin 09 Zulhijjah 1434 bersamaan dengan 14 Oktober 2013 adalah hari wuquf Arafah. "Tidak ada haji melainkan Arafah" - sabda Rasulullah saw. Berjuta umat Islam berhimpun serentak di padang pasir yang panas dan kering kontang di Arafah. Tidak ada perhimpunan jutaan manusia seumpama Arafah.

Dan sepanjang masa mereka melaungkan kalimah tauhid, dipanggil takbir raya di negara ini. Takbir yang mempunyai sejarah daripada kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah saw menentang kafir. Takbir yang memuji ALLAH, takbir yang mentauhdikan ALLAH!

Dan alhmadulillah, takbir itu bergema di perkarangan Kompleks Istana Kehakiman pagi tadi, dilaungkan oleh umat Islam yang berkumpul menunggu keputusan kes kalimah ALLAH.

Mereka datang dari jauh. Dari Kedah, dari Pulau Pinang, dari Sabah, dari Johor, dari Terengganu dan pelbagai tempat. Mereka datang daripada Perkasa, daripada Perkid, daripada ISMA, daripada Muafakat, daripada Pekida, daripada Pembela, daripada kalangan pelajar IPT, daripada pelbagai badan dan NGO Melayu-Islam. Ada antara mereka dalam keadaan berpuasa sempena hari wuquf.

Mahkamah mula bersidang tepat jam 09.30 pagi di Kamar 5, Aras Bawah, Mahkamah Rayuan Malaysia. Ruang tempat awam penuh sesak dengan para pemerhati terutama daripada umat Islam. Terdapat segelintir daripada kumpulan non-Muslim yang dapat duduk dengan aman selamat didalam Mahkamah. Ramai juga wartawan dalam dan luar negara.

Tempat duduk peguam juga penuh dengan wakil Peguam Negara, peguam-peguam Majlis Agama & MACMA, peguam pemerhati badan pertubuhan Melayu dan Islam.
 
Juga kelihatan peguam-peguam bagi pihak Titular Archbishop, peguam pemerhati semua badan pertubuhan bukan Islam. Agak pelik kerana gabungan 'peguam ahzab' terdiri daripada peguam pertubuhan pelbagai agama tetapi bersatu dalam isu terhadap umat Islam.

Mereka terdiri daripada peguam mewakili perubuhan Kristian, Hindu, Budha, Sikh, Tao, pertubuhan gereja dan lain-lain! Walaupun berlainan tuhan, berlainan kepercayaan, berlainan sembahan, berlainan agama; tetapi mereka boleh bersatu menentang Islam!

Sebaik sahaja pengerusi sidang YA Hakim Dato' Sri Haji Apandi Haji Ali masuk bersama YA Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim dan YA Dato' Mohd. Zawawi Salleh, suasana Mahkamah menjadi sunyi sepi, bak kata orang, kalau jarum jatuh pun pasti berbunyi.

Setelah pengenalan semua para peguam dibuat, YA Dato' Sri Apandi memulakan sidang dengan mengucapkan terima kasih kepada semua peguam dan pihak yang terlibat. Yang Arif menyatakan bahawa ketiga-tiga mereka telah membuat keputusan sebulat suara, tetapi masing-masing Hakim mempunyai alasan penghakiman bertulis sendiri.

Demi menjimatkan masa, YA Dato' Sri Apandi menyatakan beliau akan membaca intipati penghakiman beliau; manakala penghakiman bertulis beliau yang penuh serta YA Dato' Aziz dan YA Dato' Zawawi akan diberikan kepada semua peguam; dan orang awam boleh mendapatkannya melalui laman sesawang Mahkamah di www.kehakiman.gov.my.

YA Dato' Sri Apandi memulakan dengan menyatakan bahawa isunya dihadapan Mahkamah ialah samada budibicara yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri dalam mengeluarkan perintah larangan terhadap Titular Archbishop KL daripada menggunakan kalimah ALLAH didalam penerbitan berkala mereka The Herald sah dan berkuatkuasa.

Itu sahaja isunya. YA menyatakan bahawa tugas Mahkamah bukan untuk menentukan samada keputusan Menteri itu betul atau tidak, tanggungjawab Mahkamah hanya untuk menentukan samada keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa dan budibicara dibawah Akta Percetakan & Penerbitan; dan samada ada elemen salahguna kuasa, melampaui kuasa atau niat tidak baik.

Yang Arif menyatakan ketiga-tiga elemen itu langsung tidak ada. Malahan Akta Percetakan & Penerbitan memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengenakan sebarang syarat atau larangan dalam memberikan apa-apa permit penerbitan kepada mana-mana pihak.

Tetapi penghakiman YA Dato' Sri Apandi yang paling menarik kesemua pihak bila beliau menegaskan bahawa 'penggunaan kalimah ALLAH tidak pernah dan bukan sebahagian daripada intipati integral kepercayaan dan perlaksanaan agama kristian. Mahkamah mendapati agak pelik mengapa pihak kristian berkeras mahu menggunakan kalimah ALLAH!!!".
 
Tepat jam 09.50pagi, YA Dato Sri Apandi merumuskan bahawa "kami dengan ini membuat keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pihak Perayu dan dengan ini membatalkan keseluruhan penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh 30.12.2009, dan dengan ini pelarangan penggunaan kalimah ALLAH terhadap Titular Archbishop Kuala Lumpur melalui penerbitan The Herald adalah kekal berkuatkuasa. Memandangkan kesemua pihak bersetuju kepada kos, maka Mahkamah mengarahkan tiada kos dikenakan kepada mana-mana pihak".
 
Semasa YA Hakim Dato' Sri Apandi membaca keputusan saya sudah memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang berkumpul diperkarangan melalui sms. Sebaik sahaja keputusan selesai, terdengar gema takbir ALLAH Hu Akbar...ALLAH Hu Akbar...ALLAH Hu Akbar diluar.

Para peguam yang mewakili kumpulan Islam, yang kebanyakannya juga sedang berpuasa sunat hari wuquf, berpandangan sesama sendiri. Ada yang menitiskan airmata, ada yang menadah tangan syukur, dan ada yang tunduk bertafakkur. Masing-masing merasakan satu bebanan yang maha besar dan berat terangkat dengan dengan keputusan itu.

Sebaik tamat sidang, kami para peguam semua keluar daripada Kamar Mahkamah 5 yang terletak di aras bawah. Kami terus bergerak bersama-sama menuju kepada jemaah yang ramai sedang menunggu di perkarangan. Sebaik sampai, kesemua peguam berbaris dan membuat sujud syukur kepada ALLAH swt. Saya yang kebetulan turut sama bersujud terdengar laungan takbir yang gegak gempita, dan ada antara jemaah yang menangis teresak-esak waktu itu!

Ketua para peguam, saudara Datuk Zainul Rijal Abu Bakar kemudian memberi ucapan ringkas, mengucapkan terima kasih kepada para jemaah yang hadir dan memberikan sokongan tidak berbelah bagi, walaupun jauh datangnya dan esok Hari Raya Haji, namun sanggup berkorban datang memberi sokongan. Beliau diikuti oleh peguam utama saudara Hanif Khatri yang memberi sedikit penjelasan tentang penghakiman tersebut.

Teman kemudian turut berucap menyatakan ini adalah hadiah hari wuquf yang sangat istimewa. Kesatuan ukhwah umat Islam pelbagai latarbelakang telah memberi kekuatan kepada para peguam. Kita bersyukur dengan kemenangan ini.

Namun teman mengingatkan bahawa pihak Titular Archbishop Kuala Lumpur mempunyai hak untuk merayu dalam tempoh 30 hari. Teman mengingatkan para jemaah bahawa ini hanya kemenangan sementara, kerana ada lagi satu proses rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Lalu teman menyeru semua supaya terus istiqomah dalam perjuangan, dan jangan mengharapkan parti politik untuk membela kita. Mereka punya agenda politik yang membataskan mereka untuk bersama kita.

"Kita umat Islam mesti bergantung antara satu sama lain. Kita jangan mengharapkan parti politik untuk membantu kita kerana keterbatasan politik kepartian mereka. Hari ini, keputusan Mahkamah ini membuktikan kita umat Islam boleh melakukan sesuatu dengan kemampuan kita sendiri. Ingatlah pesan ALLAH dalam Surah Al-Baqarah:120 bahawa sesungguhnya mereka kristian ini tidak akan berdiam diri. Mereka akan terus cuba berusaha memesongkan kita untuk mengikut agama dan cara kehidupan mereka. Hanya keimanan yang mantap dan ukhwah perpaduan antara kita sahaja yang boleh menentang mereka".

Begitulah antara lain intipati ucapan teman.

Teman juga mengingatkan jemaah bahawa usaha kumpulan ini tidak terhenti disini. Teman ingatkan bahawa pada 24 Oktober ini, semasa semakan berkala isu hak asasi manusia bagi Malaysia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dalam UPR; badan-badan pertubuhan bukan Islam di Malaysia sebanyak 52 NGO telah bersatu menubuhkan satu kesatuan dinamakan COMANGO untuk mendesak PBB supaya menerima tuntutan mereka, antaranya penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian di Malaysia!

Perhimpunan hari ini ditutup dengan doa munajat yang diketuai oleh sahabat saya saudara Ustaz Masridzi Sat, Pengerusi Pertubuhan Perkid Malaysia. Doa munajat yang panjang itu benar-benar menusuk hati qalbu para hadirin. Teman lihat kenderaan-kenderaan yang lalu turut berhenti mengaminkan doa yang dibaca. Ramai yang menangis semasa takbir eidul adha dilaungkan.

Dan ALLAH menutup majlis itu dengan menurunkan hujan rahmat tepat jam 11.30 pagi.

Semoga ALLAH memelihara aqidah dan keimanan kita; dan memantapkan ukhwah kesatuan dan perpaduan kita semua insyallah, ameen ya rabbal 'aalameen!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
09 ZulHijjah 1434
14 Oktober 2013

Peguam bagi Menteri Dalam Negeri & Kerajaan Malaysia
Suzana binti Atan, Dr. Arik Sanusi bin Yeop Johari, Munahyza binti Mustafa, Andi Razalijaya bin A.Dadi & Shamsul bin Bolhassan

Peguam bagi Majlis Agama Islam & Adat Melayu Terengganu
Mubashir bin Mansor, Dato’ Zainul Rijal bin Abu Bakar, Nur Syazwani binti Rosli & Damian Kiethan

Peguam bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Abdul Halim bin Bahari, Azril bin Mohd Amin & Mohd. Fasha Musthafa

Peguam bagi Majlis Agama Islam Negeri Melaka
Mohd. Adli bin Ithnin

Peguam bagi Majlis Agama Islam Negeri Johor
Ikbal bin Salam

Peguam bagi Majlis Agama Islam Negeri Kedah
Nawal binti Hanin, Abdul Rahman & Siti Razasah binti Abd. Razak

Peguam bagi Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA)
Mohamed Haniff bin Khatri Abdullah, Mohd. Tajuddin bin Abd. Razak,
Mohd. Adzly Ab Manas

Peguam bagi Majlis Agama Islam Negeri Selangor
TanSri Dato’ Dr. Abdul Aziz bin Abdul Rahman, Abdul Rahim bin Sinwan & Ridha Abadah bin Subri

Peguam Pemerhati bagi pertubuhan -pertubuhan Islam-Melayu
Tuan Hj. Radzi bin Mustafa, Dato’ Zulkifli bin Noordin

Peguam Titular Archbishop Kuala Lumpur
Porres Royan, S.Selvarajah, Benjamin Dawson, Annou Xavier

Dan beberapa Peguam Pemerhati bagi pertubuhan-pertubuhan Non-Muslim

No comments: