10 October 2013

TUNTUTAN LUAR TABI'E

Pakatan Luar Tabie melahirkan Politik Songsang
Salam 2 all.

24 Oktober 2013 ini sekali lagi maruah dan kedaulatan Malaysia akan dicabar.

Pada 24 Oktober ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (atau dikenali sebagai UNHRC - United Nation Human Rights Commission) akan mengadakan semakan rekod hak asasi manusia bagi Malaysia dipanggil UPR - Universal Periodic Review (Semakan Berkala Sejagat) yang akan diadakan di Geneva, Switzerland.

Dalam semakan ini, HRC akan menilai rekod hak asasi manusia Malaysia terutamanya dalam soal pencabulan atau pelanggaran yang didakwa dilakukan atau berlaku, dan mengarahkan supaya ianya diperbetulkan atau di ambil tindakan susulan.

Persoalan besar kita ialah apakah kayu pengukur yang digunakan oleh HRC dalam membuat semakan dan penilaian tersebut. Hak asasi manusia daripada kacamata siapa? Daripada kayu ukur Islam? Daripada kayu ukur barat? Daripada kayu ukur fahaman liberal dan kebebasan mutlak? Daripada kayu ukur kristian?

Dalam membuat semakan dan penilaian ini, HRC akan berpandu kepada beberapa lapuran yang diterima termasuk daripada Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkepentingan atau badan-badan penyibuk seperti NGO-NGO termasuk NGO-NGO dalam negara dan asing.

Apa yang berlaku ialah beberapa badan-badan NGO di Malaysia telah mengujudkan sebuah badan dikenali sebagai COMANGO - Coalition of Malaysian NGOs (Pakatan NGO-NGO Malaysia) dan mengemukakan memorandum kepada HRC untuk mendesak Malaysia menerima beberapa tuntutan mereka.

COMANGO mendakwa mewakili 54 pertubuhan NGO Malaysia, memberi gambaran seolah-olah ianya mewakili suara majoriti rakyat Malaysia. Sedangkan hakikatnya, hanya beberapa kerat sahaja daripada NGO tersebut yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan, dan ada antaranya adalah badan yang tidak berdaftar; atau dalam ertikata lain petubuhan haram.

Diantara NGO yang menganggotai COMANGO ialah:

1. Suaram - sebuah pertubuhan haram yang tidak pernah berdaftar dengan ROS;

2. SIS Forum - sebuah syarikat yang menggunakan label Sisters in Islam tetapi tidak berdaftar dengan ROS (tetapi berdaftar dengan SSM);

3. Tenaganita - sebuah badan yang diketuai oleh Irene Fernandez seorang yang sangat pro-pembangkang;

4. PT Foundation - atau nama sebenarnya Pink Triangle;

5. Seksualiti Merdeka - sebuah badan yang mahu menganjurkan festival berkaitan seks bebas dan mendapat sokongan kuat daripada Majlis Peguam;

Sebenarnya kita pun tidak tahu jumlah sebenar keahlian badan-badan ini. Ada antaranya hanyalah syarikat yang berdaftar dengan SSM, yang mungkin ahli lembaga pengarahnya mungkin 10 atau 20 kerat sahaja.

Juga ada antara badan yang dinamakan sebagai anggota COMANGO ialah seperti Jawatankuasa Kecil Civilrights bagi Pertubuhan Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur. Hanya sebuah jawatankuasa kecil! Macam Jawatankuasa Kecil Jamuan bagi Persatuan Penduduk Kampung Hussein Lempoyang! Makna kata kalau sesuatu pertubuhan atau persatuan itu ada 12 jawatankuasa kecil, boleh dilonggok semua jawatankuasa kecil itu secara berasingan; memberi gambaran seolah-olah ada banyak badan yang menganggotainya!

Selain badan dan pertubuhan dalam Malaysia, Memorandum terhadap Malaysia turut menerima sokongan daripada beberapa badan asing seperti:

1. Amnesty International;

2. Dignity International;

3. Human Rights Watch;

4. Becket Fund for Religious Liberty;

5. International Commission for Jurist;

Ini adalah antara badan asing yang sentiasa mencampuri urusan dalaman sesebuah negara dan dipercayai mendapat pembiayaan dana asing dan ada yang membiayai beberapa individu dan pertubuhan dalam negara ini.

Selain daripada gambaran konon COMANGO ini mewakili begitu banyak pertubuhan seolah-olah mewakili suara majoriti rakyat Malaysia, tuntutan mereka juga adalah sangat bercanggah dengan perundangan negara dan norma kehidupan rakyat Malaysia.

Diantara tuntutan mereka ialah:

1. Membenarkan Murtad - mendesak Malaysia menerima Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil & Politik (International Covenant on Civil & Political Rights - ICCPR). Antaranya tuntutan yang memberikan hak kepada seseorang untuk "menganut dan mengamalkan apa-apa agama atau kepercayaan, termasuk menukar atau menggantikan agama atau kepercayaan itu, termasuk tidak mahu mempunyai agama atau apa-apa kepercayaan".

Ini secara langsung bercanggah dengan syariat Islam, bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang negara. Ringkasnya ia membenarkan murtad!

2. Amalan Seks Songsang & Luar Tabi'e mereka juga mendesak Malaysia menerima dan mengiktiraf SOGI - Sexual Orientation & Gender Identity (Hak Pengenalan Jantina & Orientasi Seksual). Ini termasuk LGBTIQ - iaitu hak pengenalan identiti diri melalui orientasi seksual seperti Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Inter-sex & Queer-Person (merangkumi kaum pengamal seks songsang seperti Lesbian, Homoseks, Bapuk, Pondan, Pengkid, dll). Ini juga bermakna penghapusan Seksyen 377 Kanun Kesiksaan yang menjadikan seks songsang termasuk liwat sebagai jenayah yang boleh dihukum.

3. Nikah Songsang - Malaysia juga didesak menerima Prinsip-Prinsip Yogjakarta dimana dalam perhimpunan beberapa NGO hak asasi tanpa batas di Jogja, mereka mendesak perkahwinan songsang sama jenis jantan-jantan & betina-betina diiktiraf; bermakna Kerajaan dan rakyat Malaysia bukan sahaja wajib menerima dan mengiktiraf nikah songsang ini, malah kena terima ia sebagai sebuah institusi perkahwinan yang sah; termasuk mereka boleh mengambil anak angkat, pelepasan cukai pasangan dan macam-macam lagi hak yang biasa diberi kepada pasangan suami-isteri yang sah!

4. Penghapusan Jenayah Syariah - mereka juga mempersoalkan peruntukan undang-undang jenayah syariah seperti khalwat, zina, minum arak dan lain-lain yang didakwa sebagai mencabul hak individu dan menganggu urusan peribadi seseorang. Oleh itu mereka mendesak peruntukkan seperti ini dimansuhkan atau dipinda;

5. Kebebasan & Kesamarataan Agama - isu pelarangan penggunaan kalimah ALLAH oleh kristian dijadikan sandaran sebagai bukti konon Malaysia mengamalkan diskriminasi agama. Begitu juga isu penjagaan anak-anak bagi ibu bapa bukan Islam yang memeluk Islam. Dan yang peliknya, isu pelarangan fahaman syiah juga dibangkitkan sebagai bukti amalan diskriminasi agama oleh Malaysia!

6. Penghapusan Dasar Afirmatif Bangsa Melayu - mereka mendesak Malaysia menerima Perjanjian Antarabangsa mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimintaion - ICERD). Jika ini diterima, Dasar Ekonomi Baru akan menjadi haram. Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera akan menjadi haram!

7. Artikel 153 Perlembagaan Di Hapuskan - mereka mendakwa bahawa Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan adalah rasis dan bersifat perkauman. Mereka juga mendakwa Artikel 153 dijadikan sebagai 'alat politik'. Kesan daripada ini ialah sebarang dasar atau perlaksanaan yang dibuat dibawah Artikel 153 adalah dianggap rasis dan perkauman dan mesti dihentikan.

RUMUSAN

Kita dapat melihat betapa merbahayanya gerakan yang cuba menekan Malaysia, sebuah negara umat Islam tetapi didesak menerima amalan hidup dan gaya kebebasan tanpa batas mengikut kayu pengukur manusia bernafsu haiwan dan kebinatangan.

Mereka mahu kita menerima gaya dan cara hidup yang lebih hina daripada haiwan!

Sebab itu kita mendesak Kerajaan dan keseluruhan umat Melayu-Islam supaya bangkitlah daripada dibuai kelenaan mimpi empuk. Aqidah kita diserang, agama kita dihina, bangsa kita dinista, cara kehidupan kita disita, warisan kita sedang dibinasa; bagaimana mungkin seorang yang mengaku Melayu-Islam masih boleh terus lena dan leka.

Adalah wajib kita semua bersatu dan bangkit menentang kemungkaran besar ini.

Stand up and be counted before ALLAH! Be a Soldier of ALLAH - Lasykar ALLAH!

Bagi pertubuhan-pertubuhan Melayu-Islam, kami telah menubuhkan sebuah badan dinamakan Muslim-UPRo For Malaysia atau singkatan MuslimUPRo. Dan kami akan menghantar 17 orang perwakilan ke Geneva, Switzerland untuk menghadiri sidang tersebut. Memang jumlahnya sedikit tetapi itu yang termampu dilakukan dengan pembiayaan sendiri.

17 anggota perwakilan ini akan diketuai oleh seorang peguam saudara Azril Mohd. Amin daripada PPMM  dan terdiri daripada mereka yang ada latarbelakang guaman, siasah, syariah, isu hak asasi kemanusiaan dan lain-lain. Antara badan yang membentuk MuslimUPRo ialah ISMA, Pertubuhan Muafakat, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan lain-lain.

Kami mengharapkan agar umat Islam mendoakan  kejayaan perwakilan MuslimUPRo ini insyallah.

Semoga ALLAH memelihara aqidah dan keimanan kita, dan memberikan kita kekuatan ukhwah dan istiqomah insyallah. Ameen.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
05 ZulHijjah 1434
10 Okt 2013

* Nota: NGO-NGO Melayu-Islam akan menghantar 17 perwakilan (dengan perbelanjaan sendiri) ke sidang UPR di Geneva, Switzerland pada 24 Okt 2013 ini terdiri daripada wakil Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Muafakat, ISMA, juga wakil Majlis Agama Islam.

* Layari www.azrilmohdamin.com dan www.akarimomar.wordpres.com untuk butir-butir lebih terperinci berkaitan UPR dan Comango ini.

* Sila layari dan 'like' https://www.facebook.com/muslimupro

No comments: