08 October 2013

WASILAH PERJUANGAN

Ketegasan Tuanku dalam mempertahankan Islam dikagumi rakyat dan umat Islam
Salam 2 all.

Kes perbicaraan saman fitnah Aziz Bari terhadap saya dan Utusan Malaysia berkaitan isu titah Tuanku Sultan Selangor mengenai kes murtad di DUMC sepatutnya dibicarakan mulai Isnin 07 Okt sehingga Rabu 09 Okt. Saya dan para peguam saya saudara Hasnul Redzua Merican dan saudara Ruzaini Zulkifli sudah bersiap sedia untuk meneruskan perbicaraan hari ini.

Kes ini berkisar kepada satu kenyataan saya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 18.10.2011 mengenai titah Tuanku Sultan Selangor dalam isu berkaitan usaha pendakyahan dan pemurtadan oleh DUMC yang berlaku dalam bulan Ramadhan 1432 iaitu 03 Ogos 2011 yang di katakan sebagai Majlis Makan Malam 'Thanksgiving Dinner' di Dewan 3, Kompleks Dream Center, Seksyen 13, Petaling Jaya, atau lebih dikenali sebagai Damansara Utama Methodist Church.

Ringkasnya pihak JAIS telah mendapat aduan adanya beberapa orang Islam cuba didakyahkan dan dimurtadkan di premis tersebut pada hari itu, lalu telah pergi membuat siasatan dan pemeriksaan dan beberapa tindakan susulan telah dibuat.

Siasatan dan tindakan JAIS itu kemudian disensasikan oleh pembangkang sebagai 'pencerobohan keatas sebuah gereja', walaupun sebenarnya ianya bukan satu 'pencerobohan', hanyalah siasatan dan pemeriksaan oleh JAIS (yang kemudiannya didapati DUMC adalah sebuah gereja haram kerana tidak ada kelulusan PBT).

YB Datuk Dr. Hasan Ali, EXCO Selangor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam telah mempertahankan tindakan JAIS tersebut (Datuk Dr. Hasan Ali akhirnya dipecat daripada PAS dan sebagai EXCO Agama Islam Selangor).

Tuanku Sultan Selangor yang prihatin terhadap isu ini kemudiannya bertitah pada 10.10.2011 bahawa tindakan pihak JAIS adalah betul dan memang terdapat bukti usaha pendakyahan itu; cuma kekurangan keterangan untuk dibawa pendakwaan.

'Pihak JAIS telah menyembahkan kepada Beta lapuran penuh mengenai pemeriksaan yang telah dijalankan di Kompleks Dream Center, Seksyen 13, Petaling Jaya tersebut dan tindakan susulan yang telah diambil oleh pihak JAIS.

Beta telah meneliti lapuran tersebut dengan terperinci dan Beta berpuas hati bahawa tindakan JAIS tersebut adalah betul dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Selangor ini.

Merujuk kepada siasatan pihak JAIS, terdapat keterangan bahawa ada cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan aqidah umat Islam. Tetapi keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil. Oleh itu setelah meneliti dengan secara mendalam laporan oleh pihak JAIS dan setelah mendapat nasihat dari pakar-pakar agama dan undang-undang, Beta bersetuju tiada pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak.

Walaubagaimanapun, Beta menitahkan JAIS memberikan kaunselling kepada orang Islam yang terlibat dalam majlis tersebut supaya aqidah dan kepercayaan mereka terhadap agama Islam dapat dipulihkan.

Sesungguhnya Beta selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor ini amat mengambil berat dan berasa amat tersinggung dengan usaha-usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam dalam Negeri Selangor ini".

Itulah antara lain petikan titah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor bertarikh 10.10.2011 yang dikeluarkan daripada Istana Mestika, Shah Alam (bagi yang berminat sila dapatkan teks penuh titah Tuanku Sultan Selangor dilaman sesawang JAIS).

Apa yang jelas daripada titah Tuanku Sultan Selangor ialah keyakinan Baginda berlakunya usaha dakyah dan memesongkan aqidah umat Islam oleh gereja terbabit; dan adanya umat Islam yang terlibat dan perlu diambil tindakan kaunselling sebagai susulan.

Sebuah portal pro-pembangkang MalaysiaKini pada 11.10.2011 kemudiannya menyiarkan kenyataan Aziz Bari yang antara lain dilapurkan seperti berikut (bagi yang berminat dengan teks penuh lapuran ini sila layari www.malaysiakini.com/news/178282):

"Pakar Perlembagaan Prof Dr. Abdul Aziz Bari berkata tindakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, bukan sesuatu yang lazim.

Menurutnya, sebagai Ketua Agama Islam dinegeri itu, Baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Lebih-lebih lagi, campurtangan Istana dalam Perlembagaan negara amat jarang sekali. Apa yang berlaku di Selangor hari ini bukan sesuatu yang lazim.

Sehubungan dengan itu, menurut Aziz yang telah menghasilkan tesis, buku dan artikel mengenai peranan monarki dalam Islam dan demokrasi, beliau sependapat dengan biskop katolik Paul Tan Chee bahawa jika tiada bukti, maka kes berkenaan perlu ditutup.

"Dibawah undang-undang atau sistem undang-undang mana-mana sekalipun, jika tiada bukti, kes ditutup. Tohmahan dan dakwaan lanjut dan sebagainya, mesti dielakkan, khususnya dinegara seperti Malaysia," katanya.

Menurut Aziz, walaupun Sultan Selangor dilihat melaksanakan kuasanya, namun tindakan Baginda dilihat tidak konsisten (dan beliau memberikan contoh kes SUK)".

Kenyataan Aziz yang disiarkan oleh portal pro-pembangkang MalaysiaKini ini telah mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, YB Senator Ezam Mohd. Nor, termasuk dibangkitkan dalam Dewan Rakyat yang kebetulan sedang bersidang; juga termasuk beberapa lapuran polis telah dibuat.

Dalam kekecohan isu tersebut, saya adalah antara mereka yang telah mengkritik Aziz Bari. Dalam satu kenyataan di lobi Parlimen yang kebetulan sedang bersidang waktu itu, saya ditanya tentang isu ini dan kenyataan saya telah disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 18.10.2011 seperti berikut:

"Kuala Lumpur - 17 Okt: Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin hari ini menyahut cabaran Prof. Dr. Abdul Aziz Bari untuk berdebat secara terbuka dalam isu Perlembagaan selepas pensyarah kontroversi itu mempertikaikan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Menurut Zulkifli, dia bersedia untuk berdebat di mana-mana sahaja yang boleh mendatangkan keselesaan kepada kepada Abdul Aziz, sama ada di hadapan pelajarnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau dihadapan ribuan penyokong pembangkang.

Bagaimanapun beliau menegaskan debat itu hanya akan menjadi kenyataan jika pensyarah undang-undang tersebut memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor terlebih dahulu kerana mengeluarkan kenyataan bersifat biadap dan kurang ajar.

'Saya sedia sahut cabaran dia untuk berdebat dimana sahaja dia hendak. Cuma satu sahaja yang perlu beliau lakukan, minta maaf dengan Sultan Selangor dahulu sebab majoriti berpendapat kenyataan beliau mempertikai titah Tuanku sebagai kurang ajar dan biadap.

Malah saya sendiri masih dengan pendirian bahawa kenyataan Abdul Aziz itu bukan sahaja kurang ajar dan biadap tetapi bercanggah dengan kedudukan profesion dia sebagai seorang pensyarah. Justeru dia perlu letak jawatan,*' katanya di lobi Parlimen disini hari ini."

Aziz Bari kemudiannya mengambil tindakan menyaman saya dan Utusan atas lapuran tersebut. Saya telah pun memfailkan Pernyataan Pembelaan dan bersedia untuk perbicaraan atas keyakinan saya mengambil pendirian yang betul.

Namun sebelum perbicaraan bermula, kesemua peguam terlibat termasuk Hanipa Maidin mewakili Aziz Bari, K. Mohan yang mewakili Dato' Aziz Ishak dan Utusan Malaysia bersama peguam saya telah mengadakan perbincangan dan akhirnya mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kes tersebut dan kemudiannya kenyataan persetujuan dibaca didalam Mahkamah dihadapan Yang Arif Hakim Puan Yeoh Wee Siam dengan terma seperti berikut:

"Perkara ini telah secara persetujuan diselesaikan tanpa apa jua pengakuan liabiliti oleh Defendan-Defendan.

Defenden-Defendan bersetuju menarik balik perkataan-perkataan berikut yang telah dituturkan oleh Defendan Pertama dan telah diterbitkan semula oleh Defendan Ketiga pada 18.10.2011; 

Bahawa kenyataan Abdul Aziz itu bukan sahaja kurang ajar dan biadap tetapi bercanggah dengan kedudukan profesion dia sebagai seorang pensyarah. Justeru, dia perlu letak jawatan** ".

Ini bermakna kes tersebut dapat diselesaikan tanpa perlu kepada perbicaraan, tanpa perlu ada pengakuan liabiliti (atau mengaku bersalah) oleh mana-mana pihak, tanpa perlu permohonan maaf, dan juga tanpa sebarang bayaran gantirugi kepada mana-mana pihak. Alhamdulillah.

Saya mengambil pendirian bersetuju untuk menyelesaikan kes ini secara sulh kerana ianya bukan sahaja sunnah yang dianjurkan, malah tiada guna lagi untuk memanjangkan isu ini. Cuba bayang bukan sahaja kes ini akan berpanjangan jika dibicarakan, mana-mana pihak yang kalah akan membuat rayuan, mula-mula ke Mahkamah Rayuan kemudian ke Mahkamah Persekutuan yang mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun.

Lagipun Abdul Aziz Bari sudah tidak lagi menjadi Profesor dan mengajar di UIA, Datuk Dr. Hasan Ali pun dah kena pecat, PRU-13 pun dah selesai, dan saya pun sudah kembali meneruskan karier guaman sebagai peguam; dan saya mahu memberi fokus kepada beberapa isu yang sangat penting termasuk kes kalimah ALLAH, isu pendengaran hak asasi manusia Universal Periodic Review UNHCR keatas Malaysia yang dijadualkan di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober ini, dan banyak lagi isu yang menjadi kepentingan umat Islam samada di Malaysia mahupun diperingkat antarabangsa.

Apapun perjuangan saya untuk menentang gejala murtad, gerakan kristianisasi dan aktiviti penghinaan terhadap institusi Islam, Melayu dan Raja-Raja oleh mana-mana pihak tetap saya teruskan samada dibawah NGO seperti Pembela, Perkasa, mahupun dalam kedudukan saya sebagai seorang Peguambela & Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya dan seorang Peguam Syarie.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada para peguam saya saudara Hasnul Redzua Merican dan saudara Ruzaini Zulkifli yang telah berjaya mengendalikan kes ini dengan begitu baik. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YA Hakim Yeoh Hwee Siam yang telah memulakan inisiatif supaya kes ini diselesaikan secara baik. Pada saya Mahkamah-Mahkamah di Malaysia wajar mengambil pendekatan seperti YA Hakim Yeoh Hwee Siam, kerana ianya banyak menjimatkan masa Mahkamah dan dapat menyelesaikan sesuatu kes dalam keadaan menang-menang kepada semua pihak.

Yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak itu adalah kelemahan saya sendiri. Semoga ALLAH memberikan kita semua petunjuk dan hidayah, serta memberikan kita kekuatan istiqomah dalam menghadapi zaman fitan yang penuh dugaan dan cubaan ini. Ameen.

Wallahua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
02 Zulhijjah 1434
07 Okt 2013

* Nota: kenyataan ini sengaja dipadamkan kerana ianya telah ditarik balik berdasarkan persetujuan pihak-pihak dalam penyelesaian kes ini.
** Inilah bahagian kenyataan (yang diwarnakan merah) yang telah ditarik balik atas persetujuan kesemua pihak.

No comments: