13 December 2013

KHIANATKAH AKU?

Adakah PAS yang khianat kepada umat Melayu-Islam?

Salam 2 all.

Cikgu Zainon Ismail @ CN Al-Afghani, ahli seumur hidup PAS dan bekas mujahidin Afghanistan dan Kashmir, bekas ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia dan bekas tahanan ISA sekali lagi menggemparkan pentas politik negara dengan buku terbarunya bertajuk 'Khianatkah Aku'.

Didalamnya CN Al-Afghani, yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Non menceritakan tentang pengalaman yang dilalui selepas terbitnya buku best-seller Kafirkah Aku yang mendedahkan pekung Amanat Hadi Awang 1981 yang menyebabkan tercetusnya peristiwa kafir-mengkafir terhadap UMNO.

Didalam buku Kafirkah Aku, Cikgu Non menceritakan bagaimana dia sendiri yang terpengaruh dengan Amanat Hadi telah mengkafirkan ayah kandungnya! Dan yang paling beliau kesal ialah beliau tidak sempat memohon ampun dan maaf daripada Allahyarham Haji Ismail ayahandanya!

Kekesalan itu bertambah parah kerana Cikgu Non teringat kepada hadis Rasulullah saw yang bersabda, sesiapa yang mengkafirkan seorang Muslim dan ternyata tidak benar, maka kafir itu kembali kepadanya.

Cikgu Non bukan sahaja kesal mengkafirkan Allahyarham bapanya dan tidak sempat memohon ampun, yang dia lebih kesal dan khuatir ialah tuduhan kafir itu kembali semula kepadanya.

Atas keinsafan itulah maka Cikgu Non menulis buku Kafirkah Aku. Tujuan beliau hanya satu, untuk mendedahkan kesan buruk dan serius Amanat Hadi Awang, dan semoga sesiapa yang membacanya dan terlibat dengan kafir-mengkafir ahli UMNO ini segera sedar dan bertaubat dan memohon keampunan kepada sesiapa yang pernah dikafirkan.

Beliau juga berharap buku Kafirkah Aku itu akan menjadi kifarah dan penebus dosanya kerana pernah mengkafirkan Allahyarham bapanya.

Kesan daripada pendedahan didalam buku Kafirkah Aku, ramai mangsa Amanat Hadi, terutamanya dikalangan ahli taksub PAS, tampil kedepan dan menceritakan pengalaman masing-masing.

Memang sangat menggerunkan kita mendengar kisah sedih mereka. Nikah semula, bercerai suami isteri, berpisah anak-bapak, bergaduh sesama keluarga, memboikot kenduri kendara, tidak mahu solat jemaah dibelakang imam UMNO, solat dua imam, enggan memandikan jenazah orang UMNO, malah ada yang sanggup kebumikan isteri di halaman rumah kerana tidak mahu berkongsi kubor dengan orang UMNO!

Diwaktu yang sama, masih ada ahli penaksub PAS dan rakan sahabat Cikgu Non yang memaki hamun dan mencaci beliau kerana mendedahkan pekung Amanat Hadi 1981.

Kebanyakkannya tidak berpuashati kerana pendedahan itu menyebabkan Hadi Awang dikritik hebat oleh umat Melayu-Islam. Mereka tidak boleh melihat desakan supaya Hadi taksuban mereka menarik balik Amanat itu. Mereka terluka melihat desakan supaya Hadi idola mereka bertaubat!

Bagi penaksub PAS, ini satu penghinaan kepada Hadi Awang, Tuan Guru mereka. Bagi mereka, itu satu dosa besar didalam PAS. Mereka tidak peduli samada pendedahan itu betul atau tidak; yang penting tuan guru mereka tidak boleh dikritik. Tuan guru mereka maksum! Tuan guru mereka kebal dari segala kritik dan teguran!

Dan yang menjadi pantang dan taboo paling besar bagi para penaksub PAS ini ialah pendedahan buku Kafirkah Aku itu menguntongkan UMNO! Wah, itu bukan lagi dosa besar dalam PAS. Itu dosa yang tidak terampun. Itu dosa yang walau direbus tujuh kali dengan air laut para peliwat penduduk Kg Sadom pun tidak akan menghapuskan dosa!

Dan para penaksub PAS menuduh Cikgu Non sebagai pengkhianat kepada PAS!

Atas sebab itulah Cikgu Non menulis buku terbarunya Khianatkah Aku!

Persoalan menarik yang dilontarkan oleh Cikgu Non dalam buku itu ialah, adakah dia yang mengkhianati PAS, atau PAS yang mengkhianati dia? Mengkhianati umat Melayu-Islam?

Dan Cikgu Non cuba membuktikan sebenarnya PAS yang telah mengkhianati beliau; PAS yang mengkhianati umat Melayu-Islam. Asas hujah beliau ialah dengan menunjukkan perbezaan pendirian prinsip Hadi Awang dengan membandingan Amanat Hadi Awang 1981 dan Amanat Hadi Awang 2003 (diikuti dengan DokumenPersefahaman Pembangkang 08 Sept 2008 dan Memorandum Persefahaman Pembangkang DAP-PKR-PAS pada 19 Dis 2009).

Apa perbandingan itu?

Asas bagi Amanat Hadi Awang 1981 yang membawa kepada persitiwa kafir-mengkafir terhadap ahli UMNO ialah kononnya UMNO mendokong Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan yang digubal berdasarkan Lapuran Suruhanjaya Reid yang didakwa Perlembagaan sekular, Perlembagaan yang memisahkan agama dan politik, Perlembagaan yang menjadikan Islam suku politik suku!

"Amanat Hadi Awang 1981


"Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku".

Sedangkan Amanat Hadi Awang 2003 pula menyatakan bahawa Islam yang ada didalam Perlembagaan sudah mencukupi. Malahan jika ditakdirkan, na'uzubillah, Pakatan DAP-PKR-PAS menang PRU dan memerintah, maka Perlembagaan yang sama akan terus digunakan. Ini diikuti dengan Dokumen Persefahaman Pakatan DAP-PKR-PAS bertarikh 08 Sept 2008 dan Memorandum Persefahaman Pakatan DAP-PKR-PAS bertarikh 18 Dis 2009 yang mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam didalamnya!

"Amanat Hadi Awang 2003

"Justru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan syari'at menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif (DAP-PKR_PAS) dahulu, maka PAS perlu membuat satu perngorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat Federal. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan saperti yang diamalkan kini di peringkat Federal. Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah Kerajaan Demokratik dan Adil diperingkat Federal atau Pusat, yang akan mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!".



Jadi tanya Cikgu Non, mana satu yang betul? Perlembagaan Persekutuan itu kafirkah atau Perlembagaan Persekutuan itu okay?

Kalau Perlembagaan Persekutuan itu kafir dan sekular, mengapa Hadi Awang boleh membuat Amanat Hadi 2003 yang 'menghalalkan' dan 'mengislamkan' Perlembagaan Persekutuan itu, tanya Cikgu Non.

Sebaliknya, kalau Perlembagaan Persekutuan itu cukup Islamik seperti Amanat Hadi 2003, yang kemudiannya turut disahkan oleh Hadi Awang pada 08 Sept 2008 dan 19 Dis 2009 dengan menandatangani Dokumen Persefahaman dan Memorandum Persefahaman pembangkang; adakah itu bermakna Amanat Hadi 1981 tidak betul? Kalau tidak betul, mengapa Hadi Awang tidak menarik balik amanat itu? Kenapa ahli PAS semuanya diam membisu dengan amanat yang telah membawa kepada pengkafiran sesama Islam?

Inilah politik flip-flop yang memperkaldaikan Islam demi menghalalkan matlamat PAS untuk menjatuhkan UMNO. Bukan matlamat untuk memerintah kerana tidak mungkin PAS boleh memerintah sendiri kata Cikgu Non. Matlamat PAS hanya mahu menjatuhkan UMNO, saudara se-agama dan se-aqidah mereka hanya untuk memuaskan nafsu serakah yang bertuhankan kerusi!

Lihat sahaja dalam isu kalimah ALLAH, betapa jelasnya politik flip-flop PAS memperkaldaikan Islam termasuk aqidah sendiri!

Bila Lim Guan Eng mendesak kristian dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH dalam mesej krismas 25 Dis 2012, Hadi Awang bersama Anwar dan Lim Kit Siang telah membuat pernyataan bersama pada 08 Jan 2013 mempersetujui desakan itu dan membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH walaupun tidak menepati kehendak Islam.

Sebaliknya Majlis Syura' PAS telah pada 13 Jan 2013 membuat ketetapan bahawa kristian tidak boleh menggunakan kalimah ALLAH kerana ini soal aqidah bukan politik. Malah Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr. Haron Din membuat kenyataan sesiapa yang bersetuju kristian guna kalimah ALLAH adalah syirik dan wajib bertaubat!

Sehingga hari ini, samada Hadi Awang mahupun PAS Pusat langsung tidak menarik balik persetujuan 08 Jan 2013 itu walaupun bercanggah dengan ketetapan Majlis Syura' PAS sendiri!

Ini pendirian politik flip-flop yang bukan sahaja mengelirukan ahli PAS, malah menyebabkan mereka terjebak ke dalam krisis aqidah yang serius dan memudaratkan!

Inilah antara persoalan besar yang dilontar oleh Cikgu Non yang membawa kepada rumusan beliau. Iaitu yang khianat ialah PAS. Yang khianat ialah pemimpin PAS. Yang khianat ialah Hadi Awang.

Pengkhianatan yang sampai membawa Cikgu Non mengkafirkan Allahyarham bapanya sendiri! Pengkhianatan yang menyebabkan Cikgu Non tidak sempat memohon keampunan daripada Allahyarham bapanya. Pengkhianatan yang mungkin menyebabkan tuduhan kafir yang beliau lemparkan terhadap Allahyarham bapanya akan boomerang kembali kepadanya.

Ini pengkhianatan kabir! Ini pengkhianatan besar!

Dan pengkhianatan kabir, pengkhianatan besar ini mesti dilawan dengan jihadul akbar, jihad besar. Dan jihad besar itu ialah berkata benar walau kepada pemimpin yang zalim.

Dan itulah buku Kafirkah Aku, iaitu berkata benar kepada pemimpin dan parti yang telah mengkhianati beliau dan umat Melayu-Islam!

Saya telah membaca buku terbaru CN Al-Afghani bertajuk Khianatkah Aku ini. Sebagai bekas seorang ahli dan pimpinan PAS, saya mendapati banyak fakta dan bukti serta keterangan yang didedahkan oleh Cikgu Non sememangnya telah dan sedang berlaku. Ada antaranya saya sendiri mempunyai pengalaman melaluinya.

Jelas fakta, bukti dan keterangan yang dirujuk oleh Cikgu Non sangat membimbangkan saya kerana ada antaranya membabitkan soal aqidah dan keimanan, bukan lagi soal siasah atau politik. Dan paling membimbangkan ialah ramai ahli PAS masih terus dengan sikap fanatik dan taksub yang melampau; samada akibat kejahilan ataupun kerana kebencian melampau. Apapun ianya akan merusakkan diri mereka sendiri.

Satu soalan yang saya tertanya-tanya ialah, apakah mereka boleh berhadapan dengan persoalan di alam barzakh nanti? Adakah mereka sudah bersedia untuk berhadapan dengan ALLAH nanti.

Apapun, apa yang jelas, analisa dan kupasan Cikgu Non dalam buku terbarunya Khianatkah Aku berdasarkan fakta, bukti dan keterangan yang beliau kemukakan menjurus kepada satu rumusan - iaitu PAS telah mengkhianati Cikgu Non, PAS telah mengkhianati umat Melayu Islam, dan PAS telah mengkhianati perjuangan asal mereka sendiri!

Saya syorkan supaya semua ahli PAS khususnya, dan umat Melayu-Islam amnya supaya membaca buku Khianatkah Aku tulisan Cikgu Non ini. Dan saya yakin buku setebal 177 mukasurat ini akan dan boleh menjadi 'pembuka mata dan jiwa' bagi mereka yang benar-benar mencari kebenaran dan keredhaan ALLAH swt insya ALLAH.

Saya akhir dengan memetik doa penutup yang dicatat oleh Cikgu Non didalam buku ini:

"Ya ALLAH! Bersaksikan Malaikat Mu, aku telah sempurnakan tanggungjawabku. Lembutkanlah hati para pemimpin politik umat Islam di negara (Malaysia) ini agar dapat bersatu. Perkenankan lah".

Amin ya rabbal 'aalamiin.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
10 Safar 1435
12 Dis 2013

No comments: