11 March 2014

DOA BUAT MH370



PhotoPhoto

Salam 2 all.

"Dan Kami pasti akan menguji kamu denga  sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka lalu berkata innalillah hiwa inna ilai hiro ji'un - sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada Nya lah kami kembali. Mereka itulah orang yang memperoleh rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk".

Al-Baqarah 2: 155-157

Begitulah ALLAH swt mengajar kita melalui Rasulullah saw bila berhadapan dengan sebarang musibah dan ujian.

Jadi saya mengajak semua umat Islam supaya memanjatkan doa dan munajat kepada ALLAH semoga musibah ini dapat diakhiri dengan suatu ketetapan yang selayaknya menurut ketetapan ALLAH swt jua.

Saya juga mengajak kita semua supaya menghentikan segala bentuk spekulasi dan cerita kedai kopi berkenaan dengan apa yang berlaku. ALLAH mengingatkan kita didalam Surah Al-Hujurat: 6 supaya berhati-hati dengan sebarang berita atau ceriat dan maklumat yang kita perolehi. Elok kita siasat dan semak dahulu.

Pada saya yang terbaiknya ialah kita serahkan kepada pihak berkuasa Malaysia dengan bantuan pihak-pihak lain untuk menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan dan spekulasi. Kita sepatutnya membantu, bukan mengusutkan lagi keadaan.

Saya lihat tiba-tiba terlalu ramai pakar penerbangan dan aviasi muncul macam cendawan liar tumboh selepas hujan; dengan pelbagai teori dan spekulasi. Ingatlah diluar sana ramai ahli keluarga dan waris yang akan tersentuh dengan apa juga kisah dan dongengan yang dibawa. Kita sewajarnya membantu mereka menghadapi ujian besar ini, bukan menambah beban mereka.

PhotoFaktanya jelas.

Sebuah pesawat MH370 dibawah juruterbang Kapten Zaharie Shah dengan 239 penumpang dan anak kapal telah berlepas daripada KLIA menuju Beijing, China pada jam 12.41 pagi Sabtu 08 Mac 2014. Pada jam 0130hrs, komunikasi dengan pesawat tersebut telah terputus dan pesawat tidak dapat dikesan. Pesawat tersebut tidak mendarat di Lapanganterbang Beijing pada jam 0630hrs sebagaimana dijadualkan.

Sehingga kini pesawat tersebut tidak dapat dikesan.

Itu sahaja fakta yang kita tahu dan pasti setakat ini. Samada pesawat MH370 tehempas, dirampas, disabotaj, dikhianati, dibawa mendarat ketempat lain, atau masih dalam keadaan selamat kita tidak tahu secara sahih dan pasti; semuanya adalah spekulasi atau andaian atau tanggapan semata-mata!

Jadi pada saya sehingga pesawat MH370 ditemui, eloklah kita mengambil sikap mendoakan yang terbaik dan memberi ruang dan peluang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka. Lebih kurang gangguan daripada mana-mana pihak adalah lagi baik. Kalau kita ada sebarang teori atau maklumat untuk disampaikan, eloklah guna saluran yang betul supaya dapat membantu.

Kepada semua ahli keluarga dan waris yang sedang menanti, saya sedar penantian tanpa sebarang maklumat yang tepat dan sahih sangat menggusarkan, apatah lagi dalam perkara melibatkan nyawa.

Apa yang boleh saya sebut ialah sekadar berharap dan berdoa semoga ALLAH memberikan kekuatan dan kesabaran kepada semua untuk berhadapan dengan musibah dan ujian besar ini.

Kepada pihak berkuasa Malaysia, semoga dapat melakukan yang terbaik dalam penyiasatan dan sambil itu jangan lupa menjaga kebajikan dan kepentingan ahli keluarga dan waris sedia ada. Dan jangan lupa sentiasa memaklumkan kepada rakyat maklumat terkini yang dapat disahihkan.

Semoga ALLAH memberi perlindungan dan memberkati kita semua.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
09 Jamadil Awal 1435
11 Mac 2014

Nota: Pohon maaf kerana kelambatan mengemaskini blog ini kerana kebetulan saya berada di Indonesia untuk misi dakwah dan dialog termasuk dengan pihak kristian Melayu-Indonesia pada masa kejadian. Beberapa fakta dan penemuan yang sangat menarik mengenai kristianisasi di Indonesia saya dapati dalam misi ini yang saya akan cuba kongsikan dengan mike semua bila berkesempatan nanti insyallah..

No comments: