29 April 2014

MADAH HUDUD BERHELAH?

Adakah PAS akan terus dibayangi dengan ketakutan kehilangan kerusi duniawi atau adakah PAS bersedia meletakkan perintah Allah menolak pakatan bersama DAP-PKR yang terang-terang menolak dan menentang perlaksanaan hudud dan meletakkan Perjanjian Persefahaman Pembangkang mengatasi Al-Quran?
Salam 2 all.

Sebelum meneruskan penulisan ini, satu perkara yang perlu saya perjelaskan ialah tidak ada orang Islam yang ada walau sedikit keimanan akan menolak perlaksanaan syariat Islam termasuk hudud. Dan saya konsisten tentang usaha perlaksanaan undang-undang jenayah Islam ini samada hudud, qisas mahupun ta'zir.

Malah saya antara satu-satunya Ahli Parlimen dalam Sidang Parlimen Penggal Ke 12 yang konsisten mengemukakan Usul Persendirian untuk perlaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud, qisas & ta'zir.. Rekod Parlimen membuktikan perkara ini.

Bagaimanapun, saya hairan melihat gelagat PAS yang mendesak supaya UMNO menyokong mereka dalam pembentangan usul persendirian untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Dalam isu hudud, pendirian UMNO sangat jelas seperti yang dinyatakan oleh Dato' Sri Najib pada 24 April 2014 lepas dalam Ijtima' Pondok Malaysia di Dewan Sri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, iaitu Kerajaan Persekutuan tidak menolak hudud dan bersedia berbincang dengan PAS untuk memperhalusi deraf hudud dan kerangka perlaksanaannya supaya matlamat untuk melaksanakan sistem keadilan Islam itu tercapai.

Bagaimanapun dari segi siasah, adalah tidak adil bagi PAS mendesak UMNO yang pernah dikafirkan untuk menyokongnya sedangkan parti sekutu PAS dalam pakatan pembangkang iaitu DAP-PKR bukan sahaja tidak bersetuju, malah menentang keras cadangan itu.

PAS mungkin lupa bahawa UMNO adalah tunjang Barisan Nasional manakala PAS adalah tunggangan DAP-PKR.

Oleh itu, sebelum mendesak UMNO, PAS wajib menyelesaikan masalah dalaman sesama mereka dahulu.

Pendirian DAP dalam isu ini sangat jelas. Mereka bukan sahaja menentang keras agenda PAS mahu melaksanakan hudud di Kelantan, malah mereka bersedia 'berperang' dengan PAS jika terus berdegil. Malahan sudah ada pimpinan DAP yang mendesak PAS supaya keluar daripada Pakatan Pembangkang jika berdegil mahu terus dengan usaha membentangkan Usul Persendirian bagi Perlaksanaan Hudud di Kelantan!

Kenyataan oleh pimpinan PKR juga sangat jelas. Walaupun ada antara mereka yang beragama Islam, tetapi mereka meletakkan Memorandum Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang yang ditandatangani semasa Konvensyen Pertama Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS pada 19 Disember 2009 di Dewan Auditorium MBSA Shah Alam yang tidak meletakkan negara Islam dan hudud sebagai agenda sebagai keutamaan mengatasi agenda PAS.

Mereka menegaskan bahawa Memorandum Perjanjian ini telah diterjemahkan dalam bentuk Buku Jingga dan Manifesto PRU-13 dan dipersetujui oleh PAS!

Pendirian PKR dan DAP jelas; hudud bukan dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada perjanjian pakatan mereka dengan PAS. Dan mereka mahu PAS menghormati dan menunaikan Perjanjian itu.

Dalam keadaan itu, sebelum mahu mendesak UMNO menyokong mereka, PAS wajib mendapatkan sokongan daripada rakan sekongkolan mereka DAP-PKR dahulu.

Tambahan pula pimpinan PAS sendiri bercelaru didalam komitmen mereka didalam soal perlaksanaan hudud.

1. Datuk Seri Hadi Awang sendiri pd 18.01.2003 semasa memegang jawatan MB Terengganu menyampaikan Amanat Pemangku Presiden PAS bertajuk 'PRU-11: Formula Kemenangan' menyatakan bahawa PAS perlu mengorbankan perjuangan Negara Islam dan perlaksanaan hudud demi untuk menjaga maslahah siasah dan kerjasama politik dengan DAP-PKR.

2. Malah Datuk Seri Hadi dengan jelas menyebut peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini diperingkat Federal. Seandainya menang didalam pilihanraya akan datang, Barisan Alternatif akan menubuhkan Kerajaan demokratik dan adil diperingkat Federal yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada;

3. Ini ditambah dengan kenyataan Datuk Seri Hadi sendiri dalam Muktamar Agong PAS 2011 yang telah menggugurkan perjuangan Negara Islam (yang didalamnya sudah pasti termasuk perlaksanaan hudud, qisas & ta'zir) kerana kononnya perjuangan Negara Islam tiada didalam Al-Quran;

4. Malah Datuk Seri Hadi, sewaktu menjadi MB Terengganu, apabila ditanya bilakah Kerajaan PAS Terengganu akan  melaksanakan hudud, telah menyatakan bahawa hudud walaupun satu kewajipan tetapi bukanlah suatu keutamaan, malah hudud katanya hanyalah 0.001% sahaja daripada Islam;

5. Datuk Seri Hadi sendiri pada 08 Mei 2008 menandatangani Deklarasi Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS yang antara lain menjunjung kedudukan Islam sebagaimana didalam Perlembagaan Persekutuan, dan Deklarasi itu tidak meletakkan penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hudud, qisas dan ta'zir sebagai agenda pembangkang sebaliknya cukup Islam sekadar yang diperuntukkan didalam Perlembagaan;

6. Selanjutnya, MB Kedah bagi PAS, Allahyarham Datuk Seri Azizan Razak apabila ditanya adakah Kerajaan PAS Kedah akan melaksanakan hudud menegaskan bahawa 'PAS Kedah bukan macam PAS Kelantan. PAS Kedah ada DAP, ada PKR'.

7. Malahan beberapa pimpinan kanan PAS pernah menegaskan bahawa PAS tidak boleh melaksanakan hudud tanpa persetujuan DAP-PKR.

8. Bukankah pimpinan PAS sendiri yang bersetuju dengan Buku Jingga dan Manifesto PRU-13 Pakatan Pembangkang DAP-PKR-PAS yang tidak memasukkan penubuhan Negara Islam dan perlaksanaan hudud sebagai agenda mereka?

Jadi didalam konteks itu, apa hak PAS untuk memaksa dan mendesak UMNO untuk menyokongnya dalam melaksanakan hudud di Kelantan sekiranya PAS sendiri bercelaru dan diwaktu yang sama menerima bantahan dan tentangan keras daripada rakan sekongkolnya sendiri!

Seperti yang saya sebut, pendirian UMNO jelas iaitu ia tidak menolak hudud.

Lagipun UMNO sebagai Kerajaan Pusat menyedari bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan diperingkat Persekutuan kerana perkara berkaitan Islam adalah hak DUN Negeri menurut Artikel 74(2) Perlembagaan dibaca dengan Jadual 9 Senarai II.

PAS sewajarnya mencerminkan diri mereka sendiri dan bertanya dengan ikhlas; adakah PAS benar-benar serius mahu melaksanakan hudud.

Jika PAS serius, mereka perlu mendapatkan sokongan rakan sekongkol mereka DAP-PKR mereka terlebih dahulu.

Jika sudah dapat persetujuan itu, barulah PAS boleh mendekati UMNO dan BN untuk mendapatkan sokongan tambahan; dan saya pasti akan UMNO akan membantu sedaya mungkin.

Malahan pimpinan UMNO termasuk Dato' Sri Najib dan Tan Sri Muhyiddin telah dengan terbuka menyatakan kesediaan UMNO berbincang dengan PAS. Menteri bagi Hal-Ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir didalam jawapan dalam penggulungan Bahas Titah DiRaja di Dewan Rakyat baru-baru ini menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak menolak usaha perlaksanaan hudud, tetapi PAS perlu mendapatkan sokongan rakan sekongkolan mereka DAP-PKR terlebih dahulu sebelum ianya boleh dilaksanakan.

Cubaan PAS mahu mendapatkan sokongan UMNO yang dijadikan 'musuh politik yang pernah dikafirkan', tetapi diwaktu yang sama masih mahu berselimut sebantal dengan rakan sekongkolan DAP-PKR yang menolak dan menentang agenda hudud PAS adalah satu sikap politiking luar tabi'e! 

PAS perlu membuat pilihan. Kalau rakan sekongkolan mereka DAP-PKR masih menolak, PAS mempunyai dua pilihan iaitu:

1. Jika PAS masih sayangkan kerjasama politik dengan DAP-PKR, maka PAS eloklah menggugurkan agenda mahu melaksanakan hudud.

2. Tetapi jika PAS ikhlas mahu melaksanakan hudud, maka PAS tiada pilihan kecuali keluar dan bermufarakah daripada pakatan bersama DAP dan PKR.

Hanya setelah itu dibuat baru PAS boleh mendekati UMNO untuk berkerjasama dan menggembeling usaha untuk membentangkan Usul Persendirian melaksanakan hudud di Kelantan.

Dan hanya dalam keadaan PAS sudah keluar daripada persekongkolan dengan DAP-PKR barulah wajar untuk UMNO menimbang bekerjasama dengan PAS untuk membantu melaksanakan hudud di Kelantan.

Jika tidak, kita tidak mahu nanti PAS menyalahkan UMNO sebagai punca permasalahan mereka dengan DAP-PKR, dan timbul pula nanti tohmahan UMNO memerangkap PAS.

Sebenarnya PAS yang sedang cuba memerangkap UMNO dengan agenda hudud yang mereka gagal laksanakan walaupun telah memerintah Kelantan selama 24 tahun.

Kita tidak mahu UMNO terperangkap dengan sentimen agenda hudud PAS yang rakan sekongkol mereka sendiri DAP-PKR menolak dan menentangnya.

Adakah agenda hudud ini satu helah politik PAS untuk memastikan umat Melayu-Islam menyalahkan UMNO jika ianya gagal dilaksanakan dalam keadaan PAS tahu ianya tidak mendapat sokongan, malah ditentang keras oleh rakan sekongkol mereka DAP-PKR?

Kita tidak mahu PAS dilihat sebagai parti yang yang mengamalkan politik makan keliling dengan memaksa UMNO menyokong melaksanakan hudud, tetapi diwaktu masa yang sama masih mahu bersekongkol dengan DAP-PKR yang menentang hudud!

Oleh itu, saya mencadangkan UMNO supaya memastikan PAS mendapat sokongan daripada rakan sekongkol mereka dahulu sebelum membantu dan bekerjasama dengan PAS untuk membolehkan mereka memfailkan Usul Persendirian Perlaksanaan Hudud di Parlimen.

UMNO memang sedar bahawa perlaksanaan hudud adalah sebahagian daripada tuntutan Islam. Sebab itu pendirian UMNO ialah tidak menolak hudud. Namun dari segi politik dan siasah, UMNO sebagai parti tunjang kepada Barisan Nasional perlu mengambil kira dan memahami permasalahan yang dihadapi oleh rakan komponennya.

Diwaktu yang sama, sebelum Usul Persendirian untuk Perlaksanaan Hudud di Kelantan dibentangkan di Dewan Rakyat, saya menyarankan PAS supaya jangan terlalu gopoh, tetapi hendaklah memastikan perkara-perkara berikut dilakukan terlebih dahulu:

1. PAS sepatutnya mengambil kesempatan daripada pendirian UMNO dibawah pimpinan Dato' Sri Najib yang bersedia mengadakan kerjasama dan membantu PAS dalam membentangkan Usul Persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam di Kelantan;

2. bagi maksud itu, PAS harus mengadakan satu Muktamar Agong Khas untuk pertamanya memperjelaskan kepada ahli dan perwakilan tentang pendirian sebenar kepimpinan PAS dan parti PAS dalam isu perlaksanaan hudud yang agak bercelaru pada masa ini, dan diwaktu yang sama mendapatkan mandat daripada ahli dan perwakilan untuk membentangkan Usul Persendirian di Dewan Rakyat bagi Perlaksanaan Hudud, Qisas &; Ta'zir di Kelantan;

3. Mukatamar Agong Khas itu juga harus memberi mandat jelas kepada kepimpinan PAS untuk keluar daripada Pakatan Pembangkang bersama DAP-PKR dan memutuskan segala bentuk kerjasama politik sekiranya kedua-dua sekutu PAS itu masih menolak dan menentang perlaksanaan hudud di Kelantan;

4. Muktamar Khas itu juga wajar memberi mandat kepada kepimpinan PAS untuk mengadakan kerjasama politik dengan UMNO untuk membolehkan Usul Persendirian Perlaksanaan Hudud dibentangkan di Dewan Rakyat. Kita tidak mahu apa yang terjadi kepada Ustaz Nasharudin Mat Isa terjadi bilamana Dialog Perpaduan yang dilaksanakan oleh beliau mewakili PAS dengan UMNO dijadikan alasan mengenakan tindakan terhadap beliau walaupun ianya dibuat atas ketetapan Majlis Syura' PAS sendiri;

5. Setelah mendapat mandat sewajarnya daripada perwakilan Mukatamar Khas, PAS wajar membentuk satu Jawatankuasa Induk Perlaksanaan Hudud, Qisas & Ta'zir untuk mengadakan perbincangan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional. Dan diwaktu ini bolehlah UMNO juga menubuhkan sebuah Jawatankuasa Induk untuk duduk berbincang dengan PAS;

6. Setelah Jawatankuasa Induk UMNO-PAS mencapai kata sepakat tentang bentuk kerjasama yang diperlukan dan bersetuju dengan deraf Undang-Undang Hudud, Qisas & Ta'zir yang mahu dilaksanakan, barulah wajar kedua-dua pihak menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Hudud, Qisas & Ta'zir untuk memperhalusi deraf Undang-Undang Hudud itu untuk tujuan pembentangan supaya ianya benar-benar menepati dan mematuhi Al-Quran dan syariat Islam;

7. Diwaktu yang sama, sebuah Jawatankuasa Penguatkuasaan Hudud, Qisas & Ta'zir hendaklah ditubuhkan oleh kedua-dua pihak yang dianggotai oleh pakar-pakar yang berkaitan seperti Kehakiman & Perundangan, Jabatan Peguam Negara, Polis, Penjara, PBT, KDN, dan lain-lain untuk memastikan bilamana Hudud dilaksanakan di Kelantan ianya tidak terbantut. Kita tidak mahu apa yang berlaku di sebuah negara jiran berlaku kepada Hudud Kelantan, bilamana setelah pengumunan penggubalan hudud dibuat, bagaimanapun perlaksanaannya terpaksa digantung kerana beberapa masalah perlaksanaan dan penguatkuasaan;

Semoga usaha untuk melaksanakan syariat Islam dipermudahkan oleh Allah, dan diberi keberkatan. Moga juga semua pihak diberi kekuatan dan istiqomah dalam usaha mencari keredhaan Allah ini, insyallah. Amin.

Wallahua'alam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias!

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
29 Jamadil Akhir 1435
29 April 2014

No comments: