23 June 2014

ALLAH-HU-AKBAR, ALLAH-HU-AHAD

Semasa berucap didalam Gereja Holy Family, Kajang, Selangor pada 16.02.2014, mengapa Anwar Ibrahim tidak mengingatkan para pendakyah kristian mengenai amaran Allah dalam Surah An-Nisaa' : 171 'Wahai kristian! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar! Sesunggunya Isa Al-Masih ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan kalimahNya yang telah disampaikan Nya kepada Maryam dan (dia juga tiupan) roh daripada Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Rasul Nya serta janganlah kamu mengatakan "Allah itu tiga". Hentikanlah (daripada mengatakan yang sedemikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Allah jualah yang memiliki segala yang ada dilangit dan yang ada dibumi. Dan cukuplah Allah menjadi wakil (atau saksi terhadap yang demikian itu)"*.
Salam 2 all.

Subhanallah! Alhamdulillah! Astaghfirullah!

Saya memanjatkan setinggi-tinggi syukor ke hadrat Allah swt atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersidang pagi ini yang menolak permohonan Archbishop Titular Kuala Lumpur (mewakili gereja dan pihak penerbitan The Herald) untuk kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan KDN mempunyai kuasa untuk menghalang dan melarang mereka daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Permohonan pihak gereja telah didengar dihadapan korum 7 orang hakim yang bersidang sebagai panel Mahkamah Persekutuan pada 05 Mac 2014. Keputusan hari ini dibuat dengan majoriti 4-3.

Hakim yang menolak permohonan pihak geraja ialah YAA Tun Ariffin Zakaria (Ketua Hakim Negara), YAA Tan Sri Md. Raus Shariff (Presiden Mahkamah Rayuan), YAA Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin (Hakim Besar Malaya) dan YA Tan Sri Suriyadi Halim Omar (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Manakala 3 orang Hakim yang membenarkan permohonan gereja ialah YAA Tan Sri Richard Malanjum (Hakim Besar Borneo), YA Datuk Zainun Ali (Hakim Mahkamah Persekutuan) dan YA Datuk Jeffrey Tan Kok Wha (Hakim Mahkamah Persekutuan).

Untuk kefahaman, apabila mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mana-mana kes sivil, ia boleh mengemukakan permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan (Mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia). Kebiasaannya Mahkamah Persekutuan hanya akan membenarkan rayuan kepadanya bagi kes-kes melibatkan persoalan Perlembagaan atau isu-isu perundangan baru yang tidak pernah diputuskan sebelum daripada ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membuktikan bahawa sistem kehakiman kita masih lagi professional, berwibawa dan bebas daripada sebarang campurtangan politik. Kalau tidak masakan kita akan mendapat keputusan majoriti 4 dan yang menentang 3.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bermakna semua proses perundangan dan kehakiman telah pun dilalui. Bermakna semua proses perundangan dan kehakiman sudah selesai dan muktamad.

Oleh itu saya menyeru semua pihak khususnya pihak gereja dan pendakyah kristian supaya menghormati keputusan tersebut dan menghentikan segala penyalah-gunaan kalimah Allah dalam apa bentuk sekalipun. Saya mendesak mereka supaya jangan lagi menimbulkan sebarang tindakan provokatif yang boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati keputusan Mahkamah dan tidak menghormati sensitiviti umat Melayu-Islam.

Kalau mereka beriya-iya benar menuntut MAIS supaya menghormati keputusan Peguam Negara yang tidak mahu mengemukakan pertuduhan terhadap Bible Society of Malaysia (BSM); maka sekarang kita mendesak mereka supaya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mereka!

Malahan saya menyeru pihak gereja dan pendakyah kristian supaya bersama-sama kita memberi sumbangan positif dan bermakna kepada memupuk keharmonian demi perpaduan rakyat dan keamanan dan kemakmuran negara Malaysia tercinta ini.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bermakna keputusan Mahkamah Rayuan kekal. Maksudnya keputusan Mahkamah Rayuan bahawa pihak gereja tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya kekal.

Bukan itu sahaja, memandangkan dalam keputusannya Mahkamah Rayuan menyentuh secara spesifik penggunaan kalimah Allah oleh kristian dalam bentuk yang bercanggah dengan tauhid Islammiyyah, ini bermakna secara amnya kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam bentuk yang mereka cuba tonjolkan - iaitu Allah itu tuhan triniti - tuhan bapak, tuhan anak dan ruh suci!

Apatah lagi Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah bukan merupakan intipati atau kepercayaan integral didalam agama dan kepercayaan kristian (not an integral part of the christianity belief).

Ini bermakna sebagai implikasi, keputusan Majlis Agama Islam Selangor terus menahan bibel versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah yang dilarang penggunaannya menurut Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Selangor 1988 adalah tepat, betul dan menurut undang-undang walaupun Peguam Negara memutuskan tidak mahu mengemukakan pertuduhan terhadap BSM.

Malahan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini seharusnya membuatkan Peguam Negara mengambil tindakan untuk menyemak semula keputusannya dan meneruskan prosiding mengemukakan pertuduhan jenayah dibawah Seksyen 9 Enakmen terhadap BSM.

Oleh itu, saya dengan ini mendesak Peguam Negara supaya menarik balik keputusannya tidak mahu mengemukakan pertuduhan terhadap BSM; sebaliknya hendaklah Peguam Negara memperbetulkan keputusan tersebut dan meneruskan pertuduhan terhadap BSM menurut Seksyen 9 Enakmen (mungkin juga dibaca bersesama atau secara berasingan dengan Seksyen 298A Kanun Kesiksaan).

Apa pun kita umat Melayu-Islam harus memanjatkan syukur kepada Allah swt atas keputusan Mahkamah Persekutuan ini. Malah kita juga bersyukur kerana masih mempunyai institusi yang masih berani mempertahankan dan membela kesucian Islam berdasarkan undang-undang negara seperti Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, YBhg Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, YBhg Pengerusi MAIS Dato' Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa dan ramai lagi.

Dan tidak lupa kepada kesemua mereka yang turut hadir di Kompleks Istana Kehakiman pagi tadi. Ada yang datang sejauh Kedah semata-mata untuk turut bersama dengan lain-lain umat Melayu-Islam mempersaksikan keputusan yang bersejarah ini. Kepada kesemua 'wira tak didendang' ini, tahniah buat kalian semua. Semoga Allah menambahkan nikmat keimanan dan ketaqwaan kepada kita semua insyallah.

Dan kepada semua umat Melayu-Islam, janganlah mengambil mudah dan berasa selesa dengan kemenangan ini. Kerana saya yakin dan percaya bahawa pihak pendakyah ini tidak akan berhenti untuk terus memprovokasi dan mencetuskan isu dan polemik kalimah Allah sehingga kita tunduk dan menurut kemahuan dan nafsu mereka.

Ingatlah pesan Allah didalam Al-Baqarah:120 bahawa sesungguhnya Yahudi dan Kristian ini tidak akan redha dengan kamu selagi kamu tidak menurut cara kehidupan dan agama mereka.

Hendaklah kita terus berwaspada, dan istiqomah dalam perjuangan kita menentang dan mencegah kemungkaran ini. Berwaspadalah, kerana iblis telah berjanji dihadapan Allah akan terus menyesatkan kita. Dan Allah berjanji bahawa iblis boleh menyesatkan siapa sahaja yang dia mahu, kecuali hamba-hamba Allah yang beriman.

Kita sudah melihat betapa ada kalangan kita yang dahulunya berkobar-kobar semangat menentang usaha permurtadan dan kristianisasi ini, tetapi kini telah kecundang dan hancur didalam mengejar nafsu dan nikmat dunia yang terlalu sedikit walaupun mereka masih berserban berpurdah dan duduk didalam wadah yang mengaku Islam.

Moga Allah memberikan rahmat dan keberkatan kepada kita semua. Semoga Allah memelihara iman dan aqidah kita dalam mengharungi zaman fitan ini. Amin.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
25 Sya'ban 2014
23 Jun 2014

* Translation of Surah An-Nisaa': 171 - O people of the scripture (Christian)! Do not exceed the limits in your religion, nor say of ALLAH but the truth. The Messiah 'Isa (Jesus), son of Maryam (Mary), was (no more than) a Messenger of ALLAH and His word, ("Be!" - and he was) which he bestowed on Maryam (Mary) and a spirit (Ruh) created by Him. So believe in ALLAH and His Messengers. Say not: "Three (Trinity)!" Cease! (it is) better for you. For ALLAH is (the only) One Ilah (God), Glorified is He (Far Exalted is He) above having a son. To Him belongs all that is in the heavens and all that is in the earth. And ALLAH is All-Sufficient as a Disposer of affairs.

** Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan Innalillah hiwa inna ilai hiro ji'un atas pemergian mengejut Allahyarham Ustaz Datuk Abu Bakar Chik dalam kemalangan jalanraya awal pagi tadi. Ustaz Bakar Chik merupakan bekas ADUN Batu Rakit, bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu (zaman Kerajaan PAS 1999-2004), bekas Ketua Pemuda PAS, bekas Ahli Dewan Ulama PAS dan kini menjawat jawatan AJK PAS Pusat. Semoga Allah memberikan rahmat dan keampunan kepada Allahyarham, dan meletakkan Allahyarham dalam golongan soleh. Al-Fatihah.

No comments: